LAMAN CIKGU BAHRI

TUJUAN ANDA MENGARANG
1. menguji kefahaman anda mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.
PANDUAN MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup
A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada kesalahan tatabahasa atau ejaan.
B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.
Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan ) Kaedah II ( peta minda )
Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?
C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.
 CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk atau soalan 1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2
- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
- Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………
Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
Contoh :
Perhatikan soalan di bawah ini.
Soalan 1
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah karangan mengenainya.

Soalan 2
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya berbeza.
Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.
Tip
Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan
- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
- susun isi mengikut urutan kepentingannya.
- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan dihurai.
- Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih dalu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
e. Secara umum peruntukan masa untuk sebuah karangan
a. 4 minit mencari isi
b. 24 minit menulis karangan
c. 2 minit menyemak semula karangan
Jumlah = 30 minit
Kamu mesti menepati masa yang ditetapkan.
Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.
Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu isi.
Tahukah kamu ?
Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan anda.
Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa. Lihat contoh :
Contoh A ( dicadangkan )
"Kamu baru pulang ?"
"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya."
"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
Contoh B ( mengelirukan )
"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
 PETUA BILA MENULIS KARANGAN
· Perlu memahami betul-betul kehendak soalan.
· Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun mengikut mana yang lebih penting.
· Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
· Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
· Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi ( seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
· Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.
KELEMAHAN KARANGAN
A] Kesalahan memilih tajuk
· Kesalahan memilih tajuk biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan. Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.
B] Kekurangan isi
· Oleh sebab kekurangan isi, sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.
C] Pembahagian perenggan
· Ada calon meletakkan beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk satu karangan !
D] Tidak merangka karangan
· Ada calon yang terus menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
· Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).
E] Kesalahan tatabahasa
· Calon perlu tahu , penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.
· Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul. Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan "di", "dari" dengan "daripada", "bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.
F] Kesuntukan masa
· Masa membina karangan sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.
· Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi. Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.
G] Kesalahan lain
· Tidak mengikut jumlah perkataan yang ditetapkan.
· Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
· Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa Kelantan )
1 Response
  1. Unknown Says:

    Perkongsian yang bermanfaat, mohon share ye cikgu.


Post a Comment