LAMAN CIKGU BAHRI


Difinisi
            Jadual Spesifiikasi Ujian ialah jadual yang menggambarkan ciri sesuatu ujian dari segi kandungan iaitu konstruk yang ditaksirkan, pemberatan tiap-tiap konstruk, konteks, pemberatan tiap konteks, dan pemberatan taburan aras kesukaran.
            Penggubalan sesuatu kertas ujian perlu mengikut spesifikasi ujian yang ditetapkan iaitu mewakili keseluruhan sukatan pelajaran, yang merangkumi komponen pengetahuan, kemahiran dan sikap seperti yang telah ditetapkan. Pertimbangan ini dibuat untuk memastikan para pelajar diuji dengan menggunakan soalan yang relevan mengikut sukatan pelajaran dan objektif pengajaran.
            Menurut Hale, (1980), penilaian terhadap item-item tersebut juga perlu dilakukan oleh pakar mata pelajaran tertentu. Ini penting bagi memastikan kualiti item ujian dari segi kebolehpercayaan, kesahan, dan seterusnya, pengukuran yang adil.
            Kubiszyn dan Borich (2003) pula berpendapat, JSU adalah carta dua hala yang mengaitkan objektif pengajaran dengan kandungan pengajaran. Lajur carta tersebut menyenaraikan objektif-objektif pengajaran, sementara baris carta ini pula menyenaraikan konsep-konsep utama yang diajar dan ingin diukur.
            Oleh itu pengubalan kertas ujian perlu mengikut pelbagai proses dengan terlebih dahulu menyediakan JSU, diikuti dengan membuat ujian rintis dan mengemaskini setiap item ujian tersebut sebelum item ujian itu ditadbir. JSU juga akan menjadi panduan kepada guru tentang sukatan pelajaran yang perlu diajar dan objektif pengajaran yang perlu dicapai pelajar.
            Dari segi pembinaan item ujian pula, JSU boleh menjadi panduan kepada guru supaya item-item yang dibina merangkumi semua kandungan pengajaran daripada awal hingga akhir.

Apa Pentingnya JSU

Seseorang guru wajar membina Jadual Spesifikasi ujian (JSU) sebelum membina soalan yang akan dijadikan kayu ukur kepada murid-murid. JSU mempunyai peranan yang penting dalam pembinaan soalan yang kita hasilkan.

            Antara kepentingan JSU adalah untuk mengelakkan daripada seseorang guru membina ujian secara sembarangan. Sekurang-kurangnya dengan adanya JSU, seseorang guru itu akan menghasilkan soalan-soalan yang akan diuji oleh murid-muridnnya setelah melalui beberapa garis panduan yang telah ditetapkan. Antara perkara yang diambil kira dalam pembinaan soalan termasuklah tahap kemampuan murid serta bentuk soalan itu sendiri. Tidak secara langsung seseorang guru itu akan dapat mengelakan daripada memberikan penilaian kepada seseorang murid itu secara sesuka hati sahaja.

            JSU juga berperanan untuk menjamin kesahan isi kandungan sesuatu ujian itu. Selain itu ianya juga telah dapat menimbulkan rasa kepentingan topik-topik dan aras-aras kemahiran. Dalam menghasilkan JSU, kita perlu menyenaraikan topik-topik yang telah kita ajar  dan sepatutnya telah dikuasai oleh murid-murid. Dengan adanya proses menghasilkan JSU, kita akan memilih topik-topik yang akan diuji dan dalam masa yang sama kita dapat merasakan kepentingan satu-satu topik itu untuk dijadikan soalan.

            Seseorang guru juga dapat menentukan perimbangan antara topik-topik dengan aras-aras kemahiran yang akan diuji kepada murid-muridya sekiranya mereka membina JSU. Selain itu JSU juga dapat memperlihatkan kertas ujian dapat dibina secara sistematik dan terancang. Kesahan dari segi persampelan sukatan pelajaran juga adalah terjamin.

            Kita tidak dapat mengetahui tahap pencapaian dalam menguasai satu-satu topik yang telah dipelajari oleh seseorang murid. Melalui penilaian atau memberikan ujian berkaitan topik itu sahajalah kita dapat melihat tahap penguasaan mereka. Walaubagaimanapun, guru perlu memberikan ujian mengikut format yang sesuai kepada murid-murid untuk menilai kebolehan mereka dari pelbagai segi. Untuk menentukan format ujian ini, pembinaan JSU amat diperlukan. Hasilnya barulah guru dapat menentukan format ujian tersebut.


 
 

            Pembinaan JSU juga dapat membantu guru dalam membentuk soalan. Bentuk-bentuk soalan samada objektif, subjektif, struktur ataupun esei. Bilangan soalan pula adalah bergantung kepada pentingnya satu-satu topik itu atau merujuk pada objektif pelajaran. Melalui bentuk yang telah ditetapkan itu, guru akan mudah untuk memberikan penilaian atau memberikan markah pada soalan-soalan yang telah dijawab murid. Selain itu, ianya dapat menjimatkan masa guru untuk menyemak kertas-kertas jawapan murid. Contohnya bagi soalan-soalan berbentuk objektif, seseorang guru memerlukan masa yang lebih singkat untuk memeriksa atau menyemak kertas jawapan murid berbanding dalam bentuk struktur atau esei.

                        Penilaian dijalankan kepada murid-murid setiap tahun. Soalan-soalan yang diajukan tentunya berbeza-beza antara satu tahun dengan tahun yang lain. Tanpa adanya JSU kemungkinan tahap atau aras kesukaran ujian-ujian itu amat berbeza antara tahun ke setahun. Jadi, JSU berperanan untuk menstabilkan aras kesukaran ujian dari tahun ke tahun. Set ujian-ujian itu sesuai digunakan oleh murid pada bila-bila masa sahaja.

            Topik yang diajar kepada murid-murid sememangnya telah disusun mengikut keutamaan. Bilangan masa yang ditentukan setiap topik adalah berpandukan kepada banyak atau luasnya sesuatu topik itu. JSU juga mengambil kira masa yang dieruntukan untuk sesuatu topik. Oleh yang demikian penilaian untuk satu-satu topik itu dapat dilaksanakan secara adil.

            Perbandingan antara satu ujian dengan ujian yang lain juga dapat dibuat sekiranya seseorang guru itu membina JSU. Perbandingan yang dimaksudkan seperti tahap pencapaian atau penguasaan yang ditunjukkan melalui markah yang diperolehi oleh seseorang murid itu.

1 Response
  1. Unknown Says:

    lengkap. banyak membantu.


Post a Comment