LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu.
_______________________________________________________________________

Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran saya di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan lebat turun tidak berhenti-henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Oleh sebab itu, keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika terpaksa berpindah.

     Akhirnya, kami terpaksa dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat. Walau bagaimanapun saya berasa agak sedih setelah melihat seluruh kampung kami telah hampir ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar air bah akan surut dengan segera dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

     Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka, berkongsi bilik air dan sebagainya. Mujurlah saya dapat bermain dengan beberapa orang kawan sebaya.

     Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah.

     Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.
0 Responses

Post a Comment