1. SEJARAH PERKEMBANGAN
BAHASA MELAYU
Setiap bangsa di dunia ini mempunyai bahasa
pertuturan yang tersendiri. Begitu juga bagi bangsa Melayu. Bahasa yang menjadi perantara untuk dituturkan di
kalangan bangsa Melayu ialah bahasa Melayu. Bahasa Melayu tergolong dalam
subkeluarga bahasa Melayu-Polinesia dan terletak di bawah rumpun
Austronesia. Penyebaran bahasa ini di Kepulauan Melayu dan Lautan
Pasifik menyebabkan Bahasa Melayu telah berkembang dan membentuk bahasa daerah
masing-masing.
Bahasa Melayu berada di bawah cabang
keluarga Nusantara yang mempunyai kira-kira 200-300 pecahan bahasa di bawahnya.
Para ahli bahasa telah membahagikan peringkat perkembangan bahasa Melayu sejak
zaman awal penemuannya hingga kini kepada empat iaitu zaman bahasa Melayu
purba, zaman bahasa Melayu kuno, zaman bahasa Melayu klasik dan zaman bahasa
Melayu moden.
Zaman
bahasa Melayu klasik bermula dari awal abad ke-14 Masihi hingga ke akhir abad
ke-18 Masihi. Bahasa Melayu Klasik berada pada tahap ketiga dalam periodisasi
bahasa Melayu, selepas bahasa Melayu purba dan bahasa Melayu kuno. (Awang
Sariyan, 1998 ). Terdapat beberapa definisi yang telah diutarakan
oleh pengkaji bahasa tentang bahasa Melayu klasik. Antaranya ialah Asmah
Hj.Omar (1985:33), yang menyatakan bahawa “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa
Melayu Klasik”.
Bahasa Melayu klasik juga dikaitkan dengan
kedatangan dan pengaruh agama Islam yang semakin mantap di Asia Tenggara ketika
itu. Sejak itu bahasa Melayu pada zaman ini turut
mengalami pelbagai perubahan dari segi kosa kata, struktur ayat, dan bentuk
tulisan. Selain itu, bukti-bukti sahih yang menunjukkan kewujudan bahasa Melayu
klasik ini ialah penemuan beberapa batu bersurat atau prasasti yang di beberapa
daerah di Asia Tenggara dan Tanah Melayu menguatkan lagi fakta
ini. Antaranya ialah batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356
Masihi), batu bersurat di Minye Tujuh, Aceh (1380 Masihi) dan batu bersurat di
Kuala Berang, Terengganu ( 1303-1387 Masihi) yang ditulis dalam tulisan Jawi.
Bahasa Melayu Klasik telah mengalami perubahan
sejak kedatangan Islam di nusantara. (Siti Hajar Abdul Aziz,2011) Ini
menunjukkan bahawa pengaruh Islam semakin kuat sehingga bahasa Melayu turut
mengalami perubahan. Antara ciri-ciri bahasa Melayu klasik selaras
dengan perubahan yang dialaminya ialah:
a) Ayatnya panjang dan
berbelit-belit.
b) Banyak menggunakan ayat pasif
dengan pendepanan predikat.
c) Banyak menggunakan gaya bahasa istana.
d) Menggunakan kosakata klasik seperti ratna,
mutu manikam, kesmaran (mabuk
asmara) dan masyghul (
bersedih ).
e) Kebanyakan kata pangkal ayat yang sering digunakan
ialah seperti syahadan,
alkisah,
hatta, adapun.
f) Penggunaan ayat yang banyak menggunakan partikel pun dan lah.
h) Penggunaan banyak kosakata
daripada pengaruh Arab dan Parsi dalam pelbagai
bidang
bahasa seperti ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan,
perubatan,
falsafah, tasawuf dan pemerintahan.
(Abdul Rashid Melebek dan Amat Juhari
Moain,2006) Zaman bahasa Melayu klasik agak panjang. Dalam melalui zaman panjang itu, ianya telah
banyak digunakan dalam penulisan agama khususnya bidang tauhid atau usuluddin,
syariah atau undang-undang Islam dan tasawuf. Keadaan ini telah dibuktikan
dengan kemunculan tokoh-tokoh ilmu di nusantara seperti Hamzah Fansuri yang
terkenal dengan karya prosanya Asrarul-Arifin fi bayan Ilmal-Suluk
wal-Tauhid, al-Muntahi dan Sharabul-Ashiqin. Beberapa naskah karya sastera terkenal turut dihasilkan pada zaman ini.
Antaranya ialah hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Amir Hamzah, Hikayat
Hang Tuah Bustannus Salatin, Sejarah Melayu dan
sebagainya.
Kesimpulannya, Bahasa Melayu Klasik mempunyai
kesignifikannya tersendiri. Ianya menjadi titik bermulanya Bahasa Melayu Moden
dan sebagai asas pembentukan bahasa baku di negara kita.
2. CIRI-CIRI BAHASA MELAYU KLASIK
Bahasa
Melayu Klasik dapat dikesan kerana ianya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang
dapat kita kenali. Ciri-ciri yang terdapat dalam Bahasa Melayu Klasik itu
adalah seperti berikut;
2.1 Ayat Panjang, Berulang-ulang dan
Berbelit-belit
Antara
ciri bahasa Melayu klasik yang membezakannya daripada bahasa lain ialah dari
segi struktur ayatnya. Bahasa Melayu klasik menggunakan ayat yang panjang,
berulang-ulang dan berbelit-belit. Contoh ayat tersebut dapat dilihat dalam
teks Sulalatus Salatin tulisan A.Samad Ahmad iaitu;
Adapun hikayatnya
terlalu amat lanjut; jika kami hikayatkan semuanya; jemu orang yang mendengar
dia; maka kami simpankan juga, kerana perkataan yang amat lanjut itu tiada
gemar bagi orang yang berakal adanya.
(Sulalatus
Salatin, halaman 18)
Ayat yang panjang dan
berbelit-belit itu mungkin menyebabkan pembaca sukar atau keliru dalam memahami
makna yang ingin disampaikan. Pengulangan perkataan yang sama maksudnya juga
terdapat dalam ayat tersebut iaitu perkataan 'terlalut' dan 'amat'.
Ciri-ciri ini juga dapat
diperhatikan dalam teks Hikayat Abdullah karya Abdul Kadir Munsyi iaitu;
Maka ada-lah yang ku lihat barang suatu pekerjaan-nya
perkataan-nya dan kepandaian-nya dan bangun-bangun orang-nya dan
budi-bahasa-nya, jikalau tiada salah faham-ku bahawa dapat-tiada ia-ini
orang-orang besar atau pandai, dan lagi dengan besar himmahnya.
(
Hikayat Abdullah, halaman 75)
Penggunaan ayat yang
panjang serta meleret-leret ini juga memaksa pembaca untuk mengulangi bacaan
mereka dalam memahaminya maksud yang ingin disampaikan. Perkataan 'nya' juga
jelas diulang-ulang pada hujung kata 'perkataan, pekerjaan'dan 'kepandaian'. 4
2.2. Banyak Ayat
Pasif
Penulisan
dalam karya-karya Bahasa Melayu Klasik juga memperlihatkan penggunaan ayat
pasif atau ayat songsang dengan pendepanan predikat dan diikuti dengan subjek
dibelakangnya. Contoh yang dapat
membuktikan kenyataan ini seperti dalam ayat di bawah;
Syahadan maka
setelah dilihat oleh Patih Aria Gajah Mada kelakuan Betara Majapahit
itu...
(Sulalatus Salatin, halaman 116)
Setelah dilihat oleh Mansur Syah
perihal itu, maka baginda pun….
(Sulalatus Salatin,
halaman 139)
Shahadan apabila di-dengar oleh Tuan Raffles akan segala
hal-ehwal itu….
(
Hikayat Abdullah, halaman 106)
Sa-telah itu maka segera di-keluarkan oleh
Tuan Farquhar perkataan lain, katanya..
( Hikayat
Abdullah, halaman 162)
Penggunaan
ayat pasif dalam hasil-hasil karya pada zaman itu disebabkan pengaruh bahasa
Arab yang meluas ketika itu. Penggunaan ayat songsang
dengan pendepanan predikat akibat pengaruh bahasa Arab dan ragam ayat pasif.
(Goay Teck, Choo Say Tee, Zainuddin Ahmad, 2007).
Seperti
yang kita ketahui bahawa pedagang-pedagang dari negara Arab telah menjalankan
perdagangan disamping menyebarkan agama Islam di seluruh nusantara termasuklah
di negara kita. Mereka telah menggunakan bahasa Arab dalam pertuturan mereka
dan keadaan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan Bahasa Melayu juga mengalami
perubahan khususnya dalam penggunaan ayat pasif ini.
2.3.
Penggunaan Bahasa Istana
Penggunaan Bahasa Istana juga
menjadi salah satu ciri Bahasa Melayu Klasik. Hubungan masyarakat pada zaman
itu amat rapat dengan istana. Sultan atau raja mempunyai kuasa mutlak dalam
meletakkan satu-satu keputusan dalam pentadbiran kerajaan dan sangat disanjung
oleh rakyat. Kemukarkaan terhadap golongan istana dilihat suatu perkara yang
boleh melanggar adat dan tatasulila peradaban Melayu. Benarlah kata-kata 'biar
mati anak jangan mati adat'.
Keadaan ini menyebabkan pertuturan
masyarakat pada ketika itu dipengaruhi oleh bahasa istana sehingga dalam
penulisan karya puisi mahupun prosa . Contoh perkataan-perkataan ganti nama
seperti 'hamba', 'patik', 'tuanku' dan sebagainya telah digunakan. Perkataan
kata kerja seperti 'titah' dan 'sembah' turut diselitkan dalam penerbitan karya sastera. Tidak
ketinggalan juga penggunaan nama-nama jawatan seperti 'bendahara', 'laksamana'
dan 'hulubalang' yang turut dimasukkan.
Ciri-ciri ini dapat ditemui dalam
kedua-dua teks tersebut iaitu seperti dalam ayat ayat di bawah ini.
Maka Sultan Mansur
Syah pun semayam di balai kecil menghadap orang mengepung Hang Jebat
itu.
(Sulalatus Salatin,
halaman 139)
Maka kata Bendahara
Seri Maharaja, "Apa kehendak hati tuanku, katakanlah kepada patik."
(Sulalatus Salatin,
halaman 251)
Maka Enche' Su-long pun pulang-lah,
serta menyampaikan segala titah raja itu kepada Pawang Gajah…
( Hikayat
Abdullah, halaman 57)
Sa-bermula ada pun
asal-nya yang empunya tempat itu shahbandar dahulu di Melaka, yang
bernama Mr.Alam…
( Hikayat
Abdullah, halaman 125)
2.4. Penggunaan Kosa Kata Klasik
Penulisan
karya dalam era penggunaan Bahasa Melayu Klasik turut memperlihatkan penggunaan kosa kata klasik. Perkataan
seperti 'ratna mutu manikam', 'edan kesmaran', 'sahaya', 'masyghul, dan
sebgainya yang dimuatkan dalam karya tersebut yang menjadi salah satu ciri yang
terdapat dalam Bahasa Melayu Klasik.
Ciri-ciri
ini masih lagi terdapat dalam karya Bahasa Melayu Klasik kerana penulis-penulis
karya pada zaman itu masih lagi terikut-ikut dengan gaya penulisan Bahasa
Melayu Lama.
Contohnya
dapat kita temui seperti dalam ayat berikut;
Arakian maka dianugerahkan
Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah kembali pada ayahnya, Raja Kida
Hindi; maka dianugerahi Raja Iskandar akan Puteri Syahrul-Bariyah persalinan
seratus kali, dan dianugerahi daripada emas dan perak, dan ratna mutu manikam,
dan daripada permata dan harta…
(Sulalatus Salatin,
halaman 7)
…daripada sutera benang emas
kimka dewangga, serta beberapa benda yang gharib-gharib.
(Sulalatus Salatin,
halaman 131)
Adapun hikayat perang Raja
Haji itu terlalu-lah lanjut-nya, maka jikalau ku cheterakan, neschaya
berlambatan-lah pekerjaan-ku, melainkan mengambil simpan-nya sahaja.
(Hikayat Abdullah,
halaman 48)
2.5. Penggunaan Kata Pangkal Ayat / Praklausa
Ciri-ciri Bahasa Melayu Klasik juga adalah sering menggunakan perkataan-perkataan
seperti 'maka', 'hatta', 'alkisah' dan
sebagainya di pangkal atau perdu sesuatu ayat. Perkataan-perkataan ini juga
boleh diibaratkan sebagai pembuka bicara dalam ayat-ayat dalam Bahasa Melayu
Klasik. Hal ini dapat memperlihatkan nilai estetika atau keindahan dalam bahasa
Melayu klasik yang pernah menjadi bahasa lingua franca pada suatu masa dahulu.
Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam ayat
berikut;
Syahadan datanglah ke Teluk Belang, maka kenaikan itu tiadalah tertimba lagi,
lalu akan tenggelam.
(Sulalatus Salatin,
halaman 39)
Hatta Raja Rekan pun datang menghadap ke
Melaka, maka sangat dipermulia oleh Sultan Muhammad Syah, kerana Raja Perempuan
itu saudara sepupu kepada Raja Rekan.
(Sulalatus Salatin,
halaman 82)
Arakian maka ada-lah kira-kira tiga bulan
lama-nya dengan hal bersakit dan susah, kebanyakan pula orangmati, dan jatoh
patah kaki tangan, tiba-tiba maka kedengaran-lah khabar mengatakan raja
menyuroh…
( Hikayat
Abdullah, halaman 50)
Ada-pun sa-telah sedikit hari kemudian daripada itu,
datang-lah pula sa-orang paderi yang lain, naman-nya Tuan Slater…
( Hikayat
Abdullah, halaman 135)
Maka sa-telah bapa-ku
pulang, dalam enam tujoh hari juga tentu-lah sudah bichara kahwin itu…
( Hikayat
Abdullah, halaman 144)
2.6. PENGGUNAAN PARTIKEL PUN DAN LAH
Kita juga dapat mengenai Bahasa Melayu
Klasik kapabila banyak penggunaan partikal seperti ‘lah’ digunakan di bahagian hujung kata kerja atau ‘pun’ di bahagian tengah ayat. Contohnya seperti
perkataan 'beradulah' atau ,berangkatlah'.
Hasil
karya yang ditulis dalam teks Sulalatus Salatin dan Hikayat Abdullah juga tidak
ketinggalan memasukkan ciri-ciri ini. Hal ini dapat dilihat dalam contoh ayat
yang berikut;
Setelah didengar oleh si penyadap, maka
ia pun hairanlah, seraya berkata…
( Silalatus
Salatin, halaman 113)
…maka berkembang-lah
segala bunga-bungaan yang dari dalam taman pengasehan…
( Hikayat
Abdullah, halaman 64)
Shahadan maka apa-bila
di-lihat oleh orang Melayu semua-nya akan hal yang demikian, maka masing-masing
pun ketakutan-lah…
( Hikayat
Abdullah, halaman 53)
2.7. PENGGUNAAN KOSA KATA DARIPADA PENGARUH ARAB
PARSI
Bahasa
Melayu Klasik menerima pengaruh kuat daripada Arab dan Parsi sehingga hasil
karya penulis-penulis pada zaman itu telah meminjam beberapa kosa kata daripada
bahasa Arab. Penggunaan kosa kata tersebut bukan sahaja daripada bidang bahasa
ilmu agama tetapi bidang-bidang yang lain seperti undang-undang, kesusteraan,
perubatan dan pentadbiran.
Ciri-ciri
ini nampak jelas digunakan terutama bagi penulis-penulis yang sezaman dengan A.
Samad Ahmad dan penulis karya Hikayat Abdullah ini.
Contohnya
dapat dilihat seperti dalam petikan ayat di bawah;
Maka beberapa lama-nya dalam hal yang sedemikian, maka datang-lah sa-orang orang Arab Sayyid yang bernama Habib Abdullah, bangsanya Haddad, maka ada-lah ia-itu aulia, maka sangat-lah di-permulia orang akan dia dalam Melaka; maka segala laki-laki dan perampuan pun pergi-lah berguru kepada-nya dari-hal perkara agama Islam.
( Hikayat Abdullah, halaman 10)
Perkataan 'Sayyid' adalah perkataan daripada bahasa Arab yang bermaksud
ketua atau pemimpin telah diselitkan dalam contoh petikan ayat di atas. Begitu
juga dengan perkataan 'aulia' yang bermaksud seseorang yang mempunyai pekerti
yang baik.
Contoh lain yang kita
dapat lihat adalah seperti petikan ayat di bawah ini;
...'Mari kita chuba jadikan kitab ilmu kira-kira dalam Bahasa
Inggeris itu...
( Hikayat
Abdullah, halaman 10)
Perkataan 'kitab' juga adalah kata yang berasal daripada perkataan Arab
yang membawa maksud buku telah digunakan dalam teks Hikayat Abdullah itu.
Begitu juga seperti dalam teks Sulalatus Salatin, penggunaan kata yang berasal
daripada bahasa Arab juga turut digunakan. Contohnya seperti dalam petikan ayat
di bawah;
Orang Kaya-kaya sekalian pertaruh kita, daripada memelihara dan
mengajar, menegur dia; kerana ia budak penuh dengan khilaf dan
bebalnya...
Perkataan 'khilaf' yang digunakan dalam petikan ayat di atas merujuk
maksud selalu membuat kesilapan.
saya amat menghargai kebijaksanaan tuan guru merungkai bahasa melayu dengan lebih mendalam sesungguhnya usaha murni tuan guru seharusnya mendapat pujian sememangnya bahasa melayu lama ini indah dah berseni peuh makna tersurat dan tersirat hanya yang memahami nya mampu menilai keindahanya
Hamba setuju dengan tuan hamba. 👍👍👍
nak tanya boleh? buku sulalatus salatin ni versi yang mana