SOALAN
Buat perbandingan antara
penggolongan perkataan yang dikemukakan oleh Za’ba dengan penggolongan
perkataan mengikut Tatabahasa Dewan. Pada pendapat anda, penggolongan perkataan
manakah yang mudah diajar kepada murid-murid?
Penggolongan
kata merupakan satu proses menjeniskan perkataan berdasarkan keserupaan bentuk
dan fungsi dengan anggota lain atau golongan yang sama. Penggolongan kata
penting kerana kita dapat meletakkan maksud tertentu dalam ayat. Tatabahasa
Dewan Edisi Ketiga (2008) menyatakan perkataan dalam sesuatu bahasa dapat
digolongkan ke dalam golongan tertentu berdasarkan kriteria , misalnya kriteria
struktur fonologi atau bunyi , kriteria struktur morfem, kriteria sintaksis dan
kriteria semantik. Penggolongan kata boleh juga disebut sebagai kelas kata,
kategori kata dan jenis kata. Perkataan
dalam bahasa Melayu bersifat berubah-ubah iaitu mengikut fungsinya dalam ayat. Justeru
itu kita perlu mempelajari konsep penggolongan kata dengan betul agar boleh
membezakan mengikut kelas kata tersebut.
Dalam
membincangkan tajuk penggolongan kata Bahasa Melayu, terdapat perbezaan
pendapat yang dikemukakan oleh para cendekiawan dan ahli bahasa pada zaman awal
pengkajiannya dengan pengkaji-pengkaji selepasnya. Antara pengkaji Bahasa
Melayu yang terkenal di negara kita ialah Pendita Za'aba melalui hasil
penulisannya bertajuk Pelita Bahasa Melayu. Beliau telah menyusun rumus-rumus
atau undang-undang berbahasa yang
menjadi sumber rujukan bukan sahaja kepada para pelajar malah guru-guru hingga
kini. Usaha-usaha ini diperhalusi dan diperbaiki lagi oleh ahli bahasa
selepasnya seperti Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya
melalui bukunya Tatabahasa Dewan.
Terdapat
perbezaan dalam menggolongkan perkataan Bahasa Melayu yang dikemukan oleh sasterawan negara dan pemikir era 40an ini iaitu
Za'aba dengan penggolongan perkataan yang terdapat dalam Buku Tatabahasa Dewan
tulisan Prof Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya. Antara
perbezaannya termasuklah dari segi pembahagian golongan perkataan-perkataan itu
dan istilah-istilah yang digunakannya.
Penggolongan
perkataan dikelaskan oleh Za'aba kepada lima jenis seperti dalam Rajah 1 iaitu
Kata Nama, Kata Perbuatan, Kata Sifat,
Kata Sendi dan Kata Seruan. Tatabahasa Dewan pula membahagikannya kepada empat golongan seperti dalam Rajah 2 iaitu Kata
Nama, Kata Kerja, Kata Adjektif serta Kata Tugas.
Perbandingan
di antara keduanya dapat diperhatikan dengan jelas kerana Za'aba mengasingkan
golongan kata seruan di dalam kelasnya tersendiri manakala dalam Tatabahasa
Dewan ianya menjadi salah satu elemen dalam kata tugas. Kata seruan yang
dimaksudkan oleh Za'ba ialah perkataan-perkataan yang semata-mata digunakan
untuk melahirkan perasaan hati ketika memanggil, terperanjat, hairan, mengejek,
sakit, hiba, marah dan sebagainya. Contohnya oh, wah, ceh dan lain-lain. Kata
sendi dan kata seruan telah disatukan menjadi salah satu elemen kata tugas oleh
Prof. Dr. Nik Safiah Karim dan rakan-rakannya. Istilah yang digunakan dalam
golongan kata besar ini juga terdapat perbezaannya. Za'aba menamakan kata kerja
seperti yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan sebagai kata perbuatan dan kata
adjektif sebagai kata sifat.
Dalam
aspek kata nama atau perkataan nama, Za'aba menjelaskannya melalui tajuk perkataan
nama dan gantinya. Beliau menegaskan bahawa perkataan-perkataan yang digunakan
untuk menyebut benda, orang dan semua
yang terlintas dalam fikiran serta tidak dapat dipandang atau dipegang seperti
akal, fikiran, kekuatan dan sebagainya sebagai kata nama.
Beliau telah mengkelaskan Kata Nama kepada dua iaitu Nama Betul dan Nama
Pengganti atau Ganti Nama. Kata Nama Betul dibahagikan kepada dua iaitu Nama
Khas dan Nama Am atau disebut juga Nama Nika seperti dalam Rajah 3. Dalam bab
ini juga Za'aba telah membincangkan tentang pemadan taraf kepada nama orang
seperti encik, cik, tuan, tengku, datuk, kakak dan lain-lain lagi mengikut
taraf kehormatannya. Beliau juga berpendapat bahawa kata ganti nama fungsinya
sama sahaja dengan kata nama. Semua Kata ganti nama seperti saya, kita, kamu, sini dan sebagainya
diterangkan oleh Za'aba di bawah kategori kata ganti nama.
Penjelasan
tentang kata nama telah diperincikan dalam Tatabahasa Dewan dengan membahagikan
Kata Nama kepada tiga kenis iaitu Kata Nama Khas, Kata Nama Am dan Kata Ganti
Nama. Kata Nama Khas dipecahkan lagi kepada dua subgolongan iaitu Kata nama
khas hidup dan Kata nama khas tak hidup. Kata nama khas hidup dipecahkan lagi
kepada dua iaitu hidup manusia dan hidup bukan manusia.
Kata
nama am telah di bahagikan kepada Kata nama am hidup manusia, Kata nama am
hidup bukan manusia, Kata nama tak hidup institusi dan Kata nama am tak hidup
bukan institusi. Kata ganti nama pula dipecahkan kepada dua iaitu Kata ganti
nama tunjuk dan Kata ganti nama diri. Kata ganti nama tunjuk dibahagikan kepada
dua iaitu Kata ganti nama tunjuk umum dan Kata ganti nama tunjuk tempat. Kata
ganti nama diri pula dibahagikan kepada dua iaitu Kata ganti diri tanya dan
Kata ganti nama diri orang samada pertama, kedua atau ketiga. Rajah 4 menjelaskan
tentang pecahan kata nama ini.
Perbezaan
yang terdapat dalam aspek kata nama di antara pendapat Za'aba dan Tatabahasa
Dewan adalah subgolongan kata nama itu sendiri. Za'aba membahagikannya kepada
dua manakala Dalam Tatabahasa Dewan telah memecahkannya kepada tiga. Kata nama
betul telah digugurkan mengikut pembahagian Tatabahasa Dewan. Selain itu,
Tatabahasa Dewan telah membahagi-bahagikan lagi kepada subgolongan yang lebih
terperinci lagi. Justeru, terbitlah istilah-istilah yang baharu seperti kata
nama khas hidup manusia atau bukan manusia, kata nama am tak hidup institusi
dan sebagainya. Dalam aspek kata ganti nama, Tatabahasa Dewan telah meletakkan
perkataan-perkataan ini di bawah kategorinya yang tersendiri. Contohnya
perkataan itu atau ini dimasukkan di bawah kata ganti nama tunjuk, perkataan
saya di bawah kata ganti nama diri orang pertama dan sebagainya. Hal ini tidak
terdapat dalam hasil tulisan Za'aba kerana beliau merangkumkan kesemuanya ini
di dalam kategori kata ganti nama sahaja.
Dari segi Kata Kerja pula, Za'aba
menggunakan istilah itu sebagai kata perbuatan. Beliau membahagikan kata
perbuatan kepada dua bahagian seperti yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan
iaitu perbuatan melampau dan perbuatan tidak melampau. Rajah 5 dapat menjelaskan
hal ini. Penjelasan yang dibuat Za'aba
berkaitan kata perbuatan ini juga menyentuh perkataan perbuatan yang memakai
dua penyambut iaitu penyambut tepat dan penyambut sipi. Ada perkataan-perkataan
yang tidak menunjukkan perkataan perbuatan atau tidak jelas maksudnya seperti
perkataan ada, jadi, boleh, sudah, hendak, kena dan sebagainya telah
digolongkan sebagai kata perbuatan.
Dalam
bukunya Pelita Bahasa Melayu, Zaaba juga membincangkan tentang perbuatan
terbitan, bangun membuat, kejadian bangun kena buat dan menukar-nukar bangun
perbuatan. Dijelaskan juga bangun perbuatan memakai imbuhan di awal seperti
'ber', di akhir seperti 'an' serta di awal dan akhir seperti 'ke...an'.
Mengikut
apa yang tercatat di dalam Tatabahasa Dewan, perbuatan melampau adalah Kata
Kerja Transitif manakala perbuatan tidak
melampau pula adalah Kata Kerja Tak Transitif. Kata Kerja Transitf ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh
pembuatnya kepada benda lain. Benda yang kena oleh perbuatan itu dipanggil
penyambut ( objek ). Ayat yang mengandungi kata kerja ini memerlukan penyambut.
Selain itu kata kerja ini biasanya mempunyai imbuhan ‘me-‘ sama ada sebagai
awalan atau sebahagian daripada imbuhan contohnya mengambil, mendermakan,
membacakan, menduduki, mempersilakan. Kata
kerja tak transitif pula ialah segala perbuatan yang dilakukan oleh pembuat itu
sendiri kepada diri pembuat itu sendiri, tidak kepada benda atau orang lain.
Oleh itu ia tidak memerlukan penyambut. Tatabahasa Dewan juga membahagikan Kata
Kerja Transitif kepada Aktif dan Pasif. Rajah 6 menjelaskan pecahan Kata Kerja
yang terdapat dalam Tatabahasa Dewan.
Dalam aspek kata terbitan,
Tatabahasa Dewan mengkelaskan perkataan imbuhan kepada imbuhan awalan, akhiran,
apitan dan sisipan sebagaimana Za'aba mengelarkannya dengan istilah perbuatan
memakai seperti memakai me… , ke…, me…kan dan sebagainya.
Za'aba juga menggunakan istilah kata sifat
berbanding dalam Tatabahasa Dewan yang menggelarnya kata adjektif. Beliau
membahagikan kata sifat kepada dua bahagian iaitu sifat nama dan sifat kata. Mengikut Tatabahasa Dewan, istilah sifat nama ialah
adjektif dan sifat kata ialah adverba.
Za’ba menyatakan bahawa kata sifat ini adalah segala
perkataan yang memberi keterangan tentang nama atau kata ganti nama. Selain itu
kata sifat masih mempunyai beberapa ciri yang tidak dimiliki oleh kata kerja ,
misalnya boleh didahului oleh kata keterangan darjat seperti sangat dan amat
serta mengalami tingkat perbandingan lebih, paling dan sebagainya.
Kata
adjektif seperti diperkatakan dalam
Tatabahasa Dewan pula adalah merupakan sejumlah perkataan yang boleh menjadi
unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Frasa adjektif boleh terdiri daripada
hanya satu kata adjektif dan unsur beberapa perkataan yang mengandungi kata
adjektif dan unsur’-unsur keterangan yang lain seperti kata bantu atau kata
penguat.
Selain
itu, dinyatakan juga perbezaan kata adjektif dengan kata kerja dan kata nama
melalui penggunaan kata penguat sebelum atau selepas kata adjektif. Contohnya
amat sakit, sakit sungguh, terlalu banyak dan banyak sekali. Oleh itu
pembahagian subgolongan kata adjektif ini telah dibahagikan kepada sembilan
jenis berdasarkan makna perkataan-perkataaan iaitu;
1.
Kata adjektif sifatan - Baik, jahat,
cerdik, pandai, gopoh, lemah, kasar, berani, takut.
2.
Kata adjektif warna - Putih, kuning, merah, biru, hjau, ungu, perang, kelabu
3.
Kata adjektif ukuran - Panjang, pendek
kecil, nipis, tebal, tinggi, cetek, dalam .
4.
Kata adjektif bentuk - Bulat, budar, leper, bujur, lonjong
5.
Kata adjektif pancaindera - Sedap, cantik, merdu, mersik, halus, licin, keras,
lazat, kelat
6.
Kata adjektif waktu - Cepat, spontan, lewat, lambat, awal
7.
Kata adjektif cara - Cepat, laju, deras, lambat, perlahan.
8.
Kata adejektif perasaan - Rindu, geram, asyik, berahi, ghairah, benci, sayang,
cinta.
9. Kata adjektif
jarak - Jauh, dekat, hampir, nyaris.
Perbezaan
penggolongan kata sifat mengikut pendapat Za'aba atau kata adjektif menurut
Tatabahasa Dewan adalah penggunaan istilah itu sendiri. Za'aba menjelaskan tentang
kata sifat agak mengelirukan dan sukar untuk difahami berbanding dalam
Tatabahasa Dewan yang telah membahagikan golongan kata adjektif itu kepada
sembilan bahagian seperti yang telah dinyatakan di atas.
Bagi
penggolongan kata sendi pula, Za'aba telah mengkelaskan perkataan sendi kepada
dua bahagian iaitu sendi nama dan sendi kata. Beliau berpendapat bahawa sendi
nama digunakan dengan nama atau ganti nama. Sendi kata pula berfungsi sebagai
penyambut yang menghubungkan antara perkataan-perkataan yang sejenis atau di
antara ayat-ayat. Perkataan sendi kata pula dibahagikan kepada dua iaitu sendi
kata penambah dan sendi kata penambat.
Za‘ba telah
meletakkan asas penggunaan kata sendi yang tepat. Hingga kini, ketetapan yang
dibuat Za‘ba itu menjadi pegangan pendidik dan pelajar serta masyarakat umum
dalam penggunaan bahasa Melayu rasmi terutama dalam bidang pentadbiran.
Perbezaan
yang dapat diperhatikan ialah, Za'aba telah menjelaskan kata sendi ini di bawah
tajuk khusus iaitu kata sendi manakala dalam Tatabahasa Dewan perkara ini
menjadi salah satu elemen di bawah penggolongan kata tugas. Melalui penjelasan
Za'aba di bawah penggolongan kata sendi ini, beliau hanya membincangkan tentang
perkataan-perkataan yang menjadi penyambung ayat secara menyeluruh melalui
contoh-contoh ayat bagi memberikan gambaran penggunaannya. Contoh kata sendi
yang diberikan oleh Za'ab adalah seperti 'di', 'dari', 'dengan' dan sebagainya.
Golongan
kata yang kelima iaitu kata seruan pula, Za'aba berpendapat ianya adalah seperti
perkataan yang menumpang sahaja. Perkataan seruan yang dijelaskan oleh Za'aba
adalah bertujuan untuk melahirkan perasaan seperti terperanjat, hairan, marah
dan lain-lain. Perkataan seruan seperti 'wah', 'amboi', 'hai' dan sebagainya
tidak menjadi inti sesuatu ayat. Bagi beliau jika perkataan-perkataan ini
dibuang, ia tidak akan merosakkan ikatan sesuatu ayat itu.
Golongan
kata sendi dan kata seruan telah dimasukkan ke dalam golongan kata tugas di
dalam Tatabahasa Dewan. Penjelasan ke dua-dua golongan kata ini telah dibuat
dengan lebih tersusun dan terperinci lagi. Di bawah golongan kata tugas,
Tatabahasa Dewan telah membahagikannya kepada empat subgolongan iaitu kata
penyambung ayat, kata praklausa, kata prafrasa dan kata pascakata. Penjelasan
secara lebih mendalam mengenai kata penyambung di mana ianya dibahagikan lagi
kepada pecahan yang lebih kecil kata hubung gabungan, kata hubung pancangan
relatif dan kata hubung pancangan komplemen. Pecahan kata tugas yang dijelaskan
melalui Tatabahas dewan dapat dijelaskan lagi seperti jadual di bawah.
Kata Penyambung Ayat
Jenis
|
Contoh Perkataan
|
Kata Hubung Gabungan
|
dan, atau, tetapi, serta,
lalu, malahan, sambil, kemudian.
|
Kata Hubung Pancangan Relatif
|
yang
|
Kata Hubung Pancangan
Komplemen
|
bahawa, untuk
|
Kata Praklausa
Jenis
|
Contoh Perkataan
|
Kata Seru
|
wah, amboi, aduh
|
Kata Tanya
|
bagaimana, siapa, bila,
berapa
|
Kata Perintah
|
sila, jemput, tolong, jangan,
usah, harap, semoga.
|
Kata Pembenar
|
ya, benar, betul.
|
Kata Pangkal Ayat
|
Maka, alkisah, hatta,
syahadan
|
Kata
Prafrasa
Jenis
|
Contoh Perkataan
|
Kata Bantu
|
akan, pernah, sedang, mahu,
masih, hendak, belum
|
Kata Penguat
|
amat, sangat, paling
|
Kata Penegas
|
juga, lah, kah, tah, pun
|
Kata Nafi
|
tidak, bukan
|
Kata Pemeri
|
ialah, adalah
|
Kata Sendi Nama
|
di, dari, dalam, ke, pada
|
Kata Bilangan
|
beberapa, banyak, ramai,dua,
tiga, kelima
|
Kata Arah
|
atas, situ, dalam
|
Kata Pascakata
Jenis
|
Contoh Perkataan
|
Kata Pembenda
|
yang, -nya
|
Kata Penekan
|
-nya
|
Setelah saya mengkaji
perbandingan antara penggolongan kata daripada hasil pengkajian Za'aba dengan
hasil tulisan dalam Tatabahasa Dewan, saya lebih tertarik dengan apa yang telah
dijelaskan di dalam Tatabahasa Dewan. Saya berpendapat sedemikian setelah melihat
beberapa aspek seperti istilah yang digunakan, bentuk bahasa dalam
pengolahannya, sistem ejaan dan penerangan yang dipaparkan samada secara
ringkas atau terperinci.
Dalam
aspek istilah, Za'aba lebih memilih istilah-istilah yang saya anggap sesuai pada
zaman pengkajiannya iaitu sekitar tahun 40an. Antara istilah yang digunakan
adalah seperti dalam penggolongan kata perbuatan iaitu bangun membuat, bangun
kena buat, bangun perbuatan dan sebagainya. Istilah seperti itu bagi saya sudah
tidak lagi releven masa kini. Seiring dengan perkembangan teknologi dunia,
bidang bahasa juga perlu melalui suatu perubahan khususnya dalam penggunaan
istilah bahasa. Oleh itu, saya amat bersetuju dengan istilah-istilah yang
dipaparkan di dalam Tatabahasa Dewan seperti penggunaan kata kerja transitif,
kata kerja tak transitif, kata adjektif dan sebagainya itu yang menunjukkan ada
satu termologi khusus bagi istilah-istilah yang digunakan oleh Za'aba itu.
Selain itu, istilah-istilah yang mengelirukan dan kabur dari segi maksudnya
juga telah dapat diatasi dengan adanya Tatabahasa Dewan.
Dari
segi bahasa dalam mengolah hasil tulisannya, Za'aba menggunakan gaya Bahasa
Melayu lama dan bersesuai dengan golongan pengkaji bahasa sezaman dengannya.
Contohnya beliau sering menggunakan perkataan 'maka' atau 'maksudnya' pada
permulaan ayat dalam membincangkan satu-satu perkara itu. Berbanding gaya
bahasa di dalam Tatabahasa Dewan, penulisnya menggunakan gaya Bahasa Melayu
yang mudah difahami golongan masa kini.
Saya lebih gemar menjadikan Tatabahasa
Dewan sebagai sumber rujukan kerana sistem ejaan yang digunakan adalah sistem
ejaan yang baharu. Hasil tulisan Za'aba yang menggunakan sistem ejaan lama di
mana penggunaan tanda-tanda tertentu bagi membezakan bunyi sesuatu huruf itu masih
digunakan. Contohnya penggunaan huruf 'e' yang membezakan bunyi samada e pepet
atau e taling. Begitu juga ejaan seperti 'membacha', 'chantek' dan lain-lain
lagi. Bagi golongan yang menerima pendidikan sejak Rancangan Malaysia Pertama
seperti saya, tentunya akan mengalami sedikit kesukaran dalam membunyikan dan
memahami perkataan-perkataan yang dicatatkan oleh Za'aba itu.
Za'aba
membuat penerangan setiap permasalah itu dalam bentuk ayat-ayat dan lebih
kepada memberikan pemahaman pembaca melalui contoh-contoh ayat. Penerangan
disampaikan secara ringkas dan adakalanya tidak dapat difahami dengan jelas. Pemahaman
secara mendalaman perlu difikirkan sendiri oleh pembaca membuatkan maksud yang
hendak disampaikan oleh beliau ada kalanya tidak kesampaian. Kekeliruan dan
kekaburan sesuatu maksud yang hendak disampaikan itu tidak berlaku sekiranya
kita memilih Tatabahasa Dewan sebagai sumber rujukan. Hal ini disebabkan
Tatabahasa Dewan telah
disusun secara sistematik, ringkas dan
padat. Isi-isi disusun dan diagihkan dalam bentuk pecahan-pecahan bernombor
yang mudah difahami. Keadaan ini membolehkan ianya bukan sahaja sesuai sebagai
bahan rujukan kepada golongan pendidikan sahaja malahan pelajar dibangku
sekolah rendah pun mudah untuk memahaminya.
Dari
segi menentukan subgolongan setiap golongan kata itu, penulis buku Tatabahasa
Dewan telah dapat membuat satu rumus yang lebih tepat dan lengkap walaupun
proses penerbitannya berpandukan hasil tulisan yang dibuat oleh Za'aba. Contoh
yang jelas melalui penggolongan kata utama di mana Tatabahasa Dewan telah
membahagikannya kepada empat golongan kata yang utama setelah berpendapat lima
golongan kata utama yang ditetapkan oleh Za'aba boleh digabungkan. Dalam contoh
yang lain, Tatabahasa Dewan menerangkan dengan jelas tentang kata tugas dan
pembahagian-pembahagian mengikut jenisnya. Pembahagian tersebut tidak
dijelaskan dalam hasil tulisan Za'aba.
Sebagai
kesimpulannya, kita boleh memilih dan menggunakan pelbagai buku rujukan yang
dihasilkan oleh para ilmuan bidang Bahasa Melayu yang melata di pasaran.
Walaubagaimanapun Buku Tatabahasa Dewan jangan sesekali kita lupakan kerana ia
amat sesuai dijadikan sumber rujukan dalam mengkaji dan mendalami bidang Bahasa
Melayu khususnya Morfologi dan Sintaksis.
Salam sejahtera, maaf saya katakan. Saya tidak setuju setengah pendapat dan cadangan serta gagasan yang anda utara dan kemukakan terutama mengenai soal istilah bahasa Melayu. Saya kira istilah Pendeta Zaaba lebih bercirikan dan bercorakkkan keMelayuan berbanding dengan tatabahasa dewan sekarang yg lebih bersifat keinggerisan dan boleh merosakkan keaslian bahasa Melayu. Saya kira segala istilah Pendeta Zaaba sangat bersesuaian dan lebih sedap didengari berbanding isitlah tatabahasa dewan yg tidak berfikir panjang dan hanya meminjam dan mengambilnya terus daripada bahasa Inggeris tanpa pertimbangan yg wajar dan berfikir apa yg akan terjadi ke atas bahasa Melayu sekiranya selalu meminjam istilah asing. Pendeta Zaaba yg banyak mencipta isitlah-istilah Melayu jati dan beliau sangat berjasa dalam memartabatkan bahasa Melayu berbanding dengan tatabahasa dewan yg tak banyak mencipta istilah sendiri dan hanya sekadar meminjam sahaja drpd bahasa asing menyebabkan bahasa Melayu sekarang rosak keasliannya. Istilah2 Pendeta Zaaba perlu digunakan, dipelbagaikan dan diperluaskan maksud dan penggunaannya agar keaslian bahasa Melayu dapat dikekalkan dan dijaga. Kalau tidak kerana pendeta Zaaba, kita tidak akan ditinggalkan dengan istilah2 dan perkataan Melayu jati dan asli yg sedap didengari. Kalau nak diharapkan tatabahasa dewan, segala perkataan2 Inggeris dipinjamnya. Untuk apa dipinjam, padahal kita sudah ada isitlah. Kalau tiada istilah kita sekalipun, ciptalah dan berfikirlah utk cipta istilah sendiri, barulah dipanggil bijak pandai. Walaupun belajar san mengaji setinggi manapun, tapi tak reti nak buat benda tu, tak ada maknalah pelajaran dan pengajian kita tu. Tatabahasa Dewan tidak memainkan peranan penting dalam penciptaan istilah sendiri atau istilah jati bahasa Melayu. Jadi, Tatabahasa Dewan perlu mengubah corak pemikiran keinggerisannya kepada corak pemikiran yg bersifat kemelayuan terutamanya dari segi istilah yakni tatabahasa dewan patut mencipta dan menggubal istilah sendiri dan mempelbagaikan maksud dan penggunaan istilah2 Melayu asli yakni yg tersedia ada. Sekian, terima kasih.
Salam sejahtera, maaf saya katakan. Saya tidak setuju setengah pendapat dan cadangan serta gagasan yang anda utara dan kemukakan terutama mengenai soal istilah bahasa Melayu. Saya kira istilah Pendeta Zaaba lebih bercirikan dan bercorakkkan keMelayuan berbanding dengan tatabahasa dewan sekarang yg lebih bersifat keinggerisan dan boleh merosakkan keaslian bahasa Melayu. Saya kira segala istilah Pendeta Zaaba sangat bersesuaian dan lebih sedap didengari berbanding isitlah tatabahasa dewan yg tidak berfikir panjang dan hanya meminjam dan mengambilnya terus daripada bahasa Inggeris tanpa pertimbangan yg wajar dan berfikir apa yg akan terjadi ke atas bahasa Melayu sekiranya selalu meminjam istilah asing. Pendeta Zaaba yg banyak mencipta isitlah-istilah Melayu jati dan beliau sangat berjasa dalam memartabatkan bahasa Melayu berbanding dengan tatabahasa dewan yg tak banyak mencipta istilah sendiri dan hanya sekadar meminjam sahaja drpd bahasa asing menyebabkan bahasa Melayu sekarang rosak keasliannya. Istilah2 Pendeta Zaaba perlu digunakan, dipelbagaikan dan diperluaskan maksud dan penggunaannya agar keaslian bahasa Melayu dapat dikekalkan dan dijaga. Kalau tidak kerana pendeta Zaaba, kita tidak akan ditinggalkan dengan istilah2 dan perkataan Melayu jati dan asli yg sedap didengari. Tatabahasa Dewan tidak memainkan penting penciptaan isitlah sendiri atau istilah jati bahasa Melayu. Jadi, Tatabahasa Dewan perlu mengubah corak pemikiran keinggerisannya kepada corak pemikiran yg bersifat kemelayuan terutamanya dari segi istilah yakni tatabahasa dewan patut mencipta dan menggubal istilah sendiri dan mempelbagaikan maksud dan penggunaan istilah2 Melayu asli yg tersedia ada. Sekian, terima kasih.