1. PENGENALAN SEMANTIK
Bidang
semantik merupakan bidang yang mengkaji makna, sebenarnya menjadi sebahagian
daripada ilmu linguistik kerana bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur
makna. Bahasa menurut R.H. Robbins (1952) adalah menegaskan bahawa kajian makna
merupakan salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Selain itu ada
lagi tokoh-tokoh yang mengemukakan pendapat yang lain. Firth (1994) pula
menegaskan bahawa makna menjadi inti dalam sesuatu kajian bahasa. Berdasarkan
pernyataan bagi ketiga-tiga tokoh di atas, makna merupakan perkara yang sangat
penting, sekiranya kita membaca sesuatu ayat ataupun menulis ayat tetapi kita
tidak mengetahui maknanya, maka tidak sempurnalah ayat tersebut. Dalam bidang
linguistik , semantik ialah bidang yang
mengkaji makna atau erti dalam bahasa (Nik Safiah Karim, 2001).
Terdapat
beberapa jenis makna dalam bahasa Melayu antaranya ialah, makna leksikal, makna
gramatikal, makna kontekstual, makna asosiatif, makna konotatif, makna
stilistik, makna afektif, makna referensial,
makna kolokatif, dan makna tematik. Jenis-jenis makna ini dapat
memberikan gambaran yang tertentu sama ada maksud tersurat mahupun
tersirat.
2.
JENIS MAKNA DALAM SEMANTIK
Terdapat pelbagai
kemungkinan tafsiran terhadap satu-satu
makna perkataan atau ungkapan di dalam sesebuah puisi. Satu-satu perkataan atau
ungkapan itu juga boleh membawa lebih daripada satu makna sama ada secara
denotatif iaitu tersurat atau konotatif iaitu tersirat. Bagi menyampaikan makna
sesebuah puisi itu, penyajak perlu memilih kata yang indah bagi menimbulkan
kesan tertentu dalam puisinya itu. Ini termasuklah sifat-sifat perkataan
seperti konotatif, denotatif bahasa kiasan, perkataan berimbuhan dan
sebagainya.
2.1
Makna Leksikal
2.2 Makna Gramatikal
Dalam
puisi di atas juga terdapat unsur Makna Gramatikal yang merupakan sebahagian
daripada jenis-jenis makna dalam semantik. Makna gramatikal boleh didifinisikan
sebagai makna yang terhasil apabila terjadinya proses gramatikal yang melalui
proses pengimbuhan, pengulangan, dan pemajmukan. Ahmad Khair Mohd Nor (2007:10)
menjelaskan bahawa proses pengimbuhan merupakan salah satu cara mengembangkan
kata dasar.
2.3 Makna Kontekstual
Dalam
puisi Usman Awang ini juga terdapat
unsur Makna Kontekstual. Makna Kontekstual adalah berkaitan dengan atau
menurut konteks. Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim & Mohd
Ra’in Shaari (2009) menyatakan makna kontekstual adalah sebagai
makna sebuah leksem atau kata yang berada di dalam sesuatu konteks.
Oleh itu, kontekstual ialah makna yang ditentukan konteks pencapaiannya.
2.4 Makna Refensial
Menurut Abdul Chaer (2007:291) sebuah kata atau
leksem disebut bermakna referensial kalau ada referensnya, atau acuannya.
Perkataan yang termasuk dalam kategori kata penuh tergolong sebagai perkataan
yang mempunyai makna referensial. Perkataan-perkataan yang dipaparkan oleh Usman
Awang di dalam puisi di bawah adalah
bermakna refensial kerana ada acuannya dalam dunia nyata. Keadaan ini
memperlihatkan beliau menyampaikan maksud dalam puisinya menggunakan perkataan
yang disusun dengan tepat dan dapat menjimatkan masa pembaca.
2.5 Makna
Asosiatif
Sajak di atas juga terdapat Makna Asosiatif iaitu makna
yang dimiliki sebuah leksem atau kata berkenaan dengan adanya hubungan kata itu
dengan sesuatu yang berada di luar bahasa. Abdullah Yusof. (2009:6) Makna asosiatif ini sebenarnya sama dengan
perlambangan ( metafora) yang digunakan oleh suatu masyarakat bahasa untuk
menyatakan suatu konsep lain yang mempunyai persamaan dengan sifat, keadaan
atau ciri yang ada pada konsep asal kata atau leksem tersebut.
3. KAJIAN MAKNA DALAM PUISI
Tajuk : Balada
Terbunuhnya Sepohon Beringin Tua di Pinggir
Sebuah Bandaraya
Nukilan : Usman
Awang
Tahun :
1979
Beringin tua di pinggir jalan raya
di sebuah ibu kota yang setengah
muda
ratusan tahun usianya berdiri
menadah matari memayungi bumi
burung-burung berterbangan menyanyi
di sini rumah mereka, di sini
keluarga bahagia
kupu-kupu berkejaran dalam senda
guraunya
anak-anak bermain di keteduhan
perdunya.
Tiba-tiba pagi yang hitam itu datang
gergasi teknologi menyerangnya
dengan kejam membenamkan gigi-gigi
besi
sehingga terdengarlah jeritan ngeri
suara Beringin rebah ke bumi.
Sampai sekarang, tiap senjakala
lembayung petang
dengarlah suara Beringin mengucapkan
pesan:
Selamat tinggal, selamat tinggal
wahai awan
Selamat tinggal matari selamat
tinggal bulan
Selamat tinggal kupu-kupu sayang
Selamat tinggal wahai burung-burung
bersarang
Selamat tinggal anak-anak bermain
riang.
Namaku Beringin pohon tua yang terbuang
dimusuhi oleh rancangan bernama
Pembangunan.
Puisi
di atas adalah bertemakan kemusnahan fauna yang disebabkan pembangunan. Segala
fauna yang merimbun menjadi tempat kanak-kanak berteduh sambil bermain Pada
suatu pagi yang malang, pohon beringin yang mewakili fauna itu telah
ditumbangkan oleh jentera moden. Pohon beringin tersebut seolah-olah merintih
kesakitan akibat kemusnahan yang dilakukan. Kesedihan yang ditanggung oleh
pohon beringin itu telah memberikan kesan hingga ke hari ini apabila terdengar-dengar ucapan selamat tinggalnya
setiap waktu senja. Pohon beringin tua itu merasakan dirinya tidak diperlukan
dan dibeci oleh manusia yang mengejar kemajuan.
3.2
PENTAFSIRAN MAKNA AYAT DALAM PUISI
Makna ayat-ayat dalam Bahasa Melayu pula boleh
dibahagikan kepada beberapa jenis. Antaranya termasuklah Makna Denotatif
(tersurat), Konotatif (tersirat), afektif, emotif, makna luas, makna sempit,
makna gaya dan makna tekanan. Perbincangan tentang makna-makna tersebut
dijelaskan dengan memberikan contoh-contoh yang terdapat dalam puisi Usman
Awang di atas.
3.2.1 Makna
Denotatif
Makna
denotatif ialah makna asli, asal, atau makna sebenarnya. Oleh itu, makna
denotatif sama dengan makna leksikal. Contoh dalam puisi di atas
adalah ' Selamat tinggal wahai burung-burung bersarang' (rangkap ke 4
baris ke 4). Penggunaan perkataan 'burung-burung' adalah leksikal yang
bermaksud sejenis haiwan yang mempunyai kepak, boleh terbang, bertelur dan
tinggalnya di dalam sarang. Ianya adalah perkataan yang boleh dirujuk dan
terdapat di dalam kamus.
3.2.2 Makna Konotatif
Makna konotatif ialah makna lain yang ditambahkan pada makna
denotatif, yang ada hubungannya dengan nilai rasa orang yang menggunakan kata
itu. Dengan kata lain ianya membawa maksud yang tersirat. Contohnya perkataan 'setengah
muda' dalam frasa 'di sebuah ibu kota yang setengah muda' (rangkap
1 baris 2). Perkataan 'setengah muda' dalam puisi tersebut membawa maksud belum
berapa lama atau sedang dalam proses
pembangunan. Usman Awang menggunakan istilah itu untuk menjadikan
puisinya itu menjadi lebih indah bukan sahaja maknanya malah susunan
kata-katanya.
|
3.2.3 Makna Afektif
Makna Afektif muncul akibat reaksi pendengar atau pembaca
terhadap penggunaan kata-kata yang digunakan dalam bahan yang didengar atau
dibacanya. Hal ini boleh menimbulkan suatu perasaan kepada pembaca samada
sedih, marah, sayang dan sebagainya. Contohnya penyajak menggunakan perkataan
'membenamkan gigi-gigi besi' dalam rangkap ke 2 baris ke 3. Penggunaan
'gigi-gigi besi' dapat menyebabkan pembaca rasa sedih atas kerakusan manusia terhadap
fauna demi pembangunan.
3.2.4 Makna Emotif
Makna emotif menurut Sipley (dalam Mansoer
Pateda, 2001:101) adalah makna yang timbul akibat adanya reaksi pembicara atau
sikap pembicara mengenai atau terhadap sesuatu yang dipikirkan atau dirasakan. Dengan
kata lain membawa makna yang sama tetapi berbeza nilai rasa bahasanya.
Contohnya seperti dalam frasa 'sehingga terdengar jeritan ngeri' (rangkap
ke 2 baris ke 4). Usman Awang menggunakan perkataan 'ngeri'. Beliau sepatutnya
boleh menggunakan perkataan 'takut' atau 'seram' kerana kesemua perkataan itu
membawa makna yang sama tetapi tidak akan membawa perasaan yang sama kepada
pembaca atau penutur puisi ini.
3.2.5 Makna Luas
Makna Luas ialah makna yang terkandung dalam sesuatu
perkataan itu mempunyai makna yang lebih luas daripada makna yang sebenar. Contohnya dalam
frasa 'anak-anak bermain diketeduhan perdunya' ( rangkap 1 baris ke
7). Perkataan 'anak-anak' adalah berkaitan dengan budak-budak atau kanak-kanak.
Perkataan 'anak-anak' itu juga boleh diperluaskan lagi maksudnya iaitu dari
segi jantinanya lelaki atau perempuan . Dari segi had usianya atau saiznya
seperti kurus atau gemuk . Saya berpendapat bahawa penyajak menyerahkan kepada
pembaca untuk memperluaskan pengertian terhadap perkataan 'anak-anak' itu. Penyajak menggunakan perkataan yang
bersesuaian dalam konteks itu dan pembaca boleh menyesuaikan maksud perkataan
itu mengikut konteks dalam frasa itu dengan mudah.
3.2.6 Makna Sempit
Makna Sempit pula adalah merujuk makna yang terkandung
dalam perkataan tersebut semata-mata. Contohnya dalam puisi di atas ialah dalam
frasa 'tiba-tiba pagi yang hitam itu datang' ( rangkap ke 2 baris 1).
Perkataan 'pagi' membawa makna sempit kerana bukan datangnya seluruh hari
tetapi hanya bermaksud waktu pagi sahaja.
|
3.2.7 Makna
Gaya
Makna gaya merujuk pada perkataan khas yang selalu
dikemukakan oleh seseorang pengarang dalam karya sasteranya. Usman Awang gemar
mengemukakan pengulangan kata dalam hasil tulisan era 70 an. Contohnya dalam
sajak di atas yang ditulisnya pada tahun 1979 itu memaparkan unsur anafora
iaitu pengulangan kata pada awal baris secara berturutan iaitu perkataan 'Selamat
tinggal' (rangkap ke 4 dari baris 1 hingga baris ke 5). Keadaan ini
menjadikan pembaca atau pendengar dapat meneka pengarang sesuatu hasil karya
melalui makna gaya penulisannya.
3.2.8 Makna
Tekanan
Makna tekanan ialah makna yang diberi
penekanan semasa ujaran. Perkataan itu mewakili makna utama dalam keseluruhan
ujaran tersebut. Contoh dalam puisi di atas ialah dalam frasa 'dengan
kejam membenamkan gigi-gigi besi' (rangkap 2 baris ke 3). Perkataan
'membenamkan' dan 'gigi-gigi besi' mewakili makna yang utama dalam frasa
tersebut.
4. KAJIAN MAKNA DALAM PROSA ( NOVEL )
Tajuk Novel : Musafir Menuju Destinasi
Penulis : Hassan Ali
Tahun Terbitan : 2007
Apabila kita mengaitkan
ilmu semantik dengan karya prosa, kita sebenarnya perlu melihat karya tersebut
dari segi makna, gaya penulisan atau penggunaan bahasanya. Ilmu semantik dapat
membantu penulis atau pengarang karya tersebut dari segi diksi iaitu pemilihan
kata yang tepat, betul dan berkesan. Selain itu unsur-unsur metafora, simili,
hiperbola ,personafikasi dan sebagainya dapat menjadikan sesebuah karya prosa
itu mempunyai nilai tersendiri.
Dalam
membincangkan peranan semantik dalam penghasilan karya prosa, saya memilih novel
bertajuk Musafir tulisan Hassan Ali sebagai bahan kajian saya. Saya menjadikan
novel ini pilihan saya kerana saya berpendapat ia adalah novel yang memenuhi
ciri-ciri dan kehendak dalam membincangkan tajuk ini.
4.1 SINOPSIS RINGKAS
NOVEL
Novel
musafir ini menyingkap perjalanan kehidupan seseorang yang pada mulanya susah
dan dengan usaha yang ada berjaya memperolehi kesenangan tetapi akibat terlalu
leka dengan kuasa dan harta, kesenangan yang diperolehi lenyap sedikit demi sedikit.
Tetapi kesedaran yang segera timbul berjaya memberikan petunjuk untuk
memperbaiki kesilapan yang dilakukan. Persoalan dapat dilihat berdasarkan
kehidupan sebenar masyarakat pada waktu itu. Masyarakat Melayu yang bercucuk
tanam, nelayan, masyarakat Cina yang berkaitan dengan kerjaya perniagaan dan
sebagainya. Bahasa ringkas dan unsur kepuitisannya wujud dalam usaha menarik
minat pembaca. Penulis berjaya memberikan suatu impak realiti kepada pembaca
melalui kisah kehidupan masyarakat dengan menerapkan unsur-unsur kesenangan,
kesusahan, penipuan, lupa akan daratan dan sebagainya.
4.2
PENTAFSIRAN MAKNA AYAT DALAM NOVEL
Pentafsiran makna dalam karya prosa juga seperti dalam karya puisi. Ini
kerana dalam membincangkan makna kita pasti menyentuh makna sama ada yang
tersurat atau tersurat.
4.2.1 Makna Denotatif
Makna Denotatif iaitu yang tersurat banyak terdapat dalam
novel ini. Makna tersurat merupakan makna sebenar yang terdapat pada kata
tersebut. Makna tersebut merupakan makna yang sebenar dan dapat difahami secara
terus. Contoh dapat dilihat pada halaman 91 :
" Pelacur ialah perempuan-perempuan
yang sudah rosak hidupnya".
Perkataan 'pelacur' merupakan makna yang tersurat,
nyata, umum dan mempunyai makna yang sesuai dengan rujukan di dalam kamus.
Perkataan itu bermaksud perempuan yang tidak bermoral dan kerjanya menjual
tubuh. Saya berpendapat penulis memilih perkataan yang tepat dalam ayat
tersebut dan pembaca boleh memahaminya disebabkan sudah biasa digunakan oleh
masyarakat umum.
4.2.2 Makna Konotatif
Makna Konotatif iaitu makna
yang tersirat. Makna tersirat boleh
ditafsirkan sebagai terkandung atau tersembunyi (Kamus Dewan Edisi Ketiga,
2002: 1298). Makna tersirat ini memerlukan pendengar atau pembaca bebas
memberi tafsiran terhadap maksud yang ingin disampaikan.
Kebiasaannya pengguna bahasa akan mengalami kesukaran untuk memahami
sesuatu makna yang hendak disampaikan dalam perkataan yang membawa makna
tersirat ini. Ianya boleh ditemui dalam halaman 34 dalam karya
novel ini iaitu :
Setiap mata berkisar-kisar pandangan kepada haji gemuk, kepada haji kurus, kepada Pak Mahmud, dan kepada Leman yang bermuka usang
di tepi dinding.
Perkataan 'usang' dalam ayat tersebut bermaksud
malu atau rasa bersalah. Dalam erti kata lain usang bermaksud sudah tidak
digunakan lagi atau sudah lama.
4.2.3 Makna Afektif
Makna Afektif adalah kata-kata yang
boleh menimbulkan satu perasaan kepada pembaca atau pendengar. Dalam novel ini
terdapat pada halaman 66 iaitu :
'Dan
dia ingin segera kembali ke desa, ke ladang, ke tempat kedamaian hatinya
bersama Pak Nayan'.
Penggunaan kata 'desa' dapat menggambarkan suasana
yang indah serta permai dan menimbulkan rasa gembira kepada penuturnya.
4.2.4 Makna Luas
Makna Luas iaitu
perkataan yang mempunyai pengertian yang lebih luas daripada makna yang
terkandung dalam perkataan itu. Contohnya dapat dilihat melalui halaman 22
novel ini iaitu :
'Seorang
daripadanya ialah Pak Rahman. Hidup Pak Rahman ini bolehlah dibilang berada juga di kampung
itu'.
Perkataan 'kampung' dalam ayat tersebut boleh
diperluaskan lagi pengertiannya merangkumi aspek penduduknya, tumbuh-tumbuhannya, haiwan peliharaan dan
sebagainya.
4.2.5 Makna Sempit
Makna sempit
merupakan makna yang hanya terkandung dalam satu-satu perkataan itu sahaja. Contoh
dapat dilihat pada halaman 18 dalam novel Musafir iaitu :
'dalam
pada itu, ada juga kelihatan beberapa titik air yang jernih keluar dari kelopak
matanya'.
Penggunaan perkataan 'matanya, menunjukkan air
jernih hanya keluar dari kelopak matanya dan bukan dari anggota yang lain.
Penggunaan perkataan itu dapat membuatkan penulis novel ini menjelaskan makna
keluarnya air jernih dari satu sumber yang tepat dan tidak perlu dihuraikan
lagi.
4.2.6 Makna Gaya
Dalam novel
tersebut, Hassan Ali banyak menggunakan gaya bahasa sastera. Dalam novel ini,
penulis berjaya memperlihatkan gaya bahasa yang menarik dan kreatif melalui
contoh pada halaman 145 iaitu :
'Apabila
perjalanan hari terus mara, terus bertukar, akan bertukarlah pula segala kisah
dan akan bertukarlah segala rasa'.
Keindahan
gaya bahasa dalam menyampaikan makna dalam novel ini menyebabkan beliau
merangkul hadiah kedua Peraduan Menulis Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka
pada tahun 1958.
4.2.7 Makna
Tekanan
Makna
Tekanan juga terdapat dalam novel ini. Contoh pada halaman 91 iaitu :
'Tuhan telah
memberi kita rezeki besar'.
Perkataan 'memberi' dan 'rezeki' mewakili makna
utama dalam keseluruhan ujaran tersebut. Andainya kita gugurkan salah satu
perkataan itu, ujaran itu tidak akan dapat berdiri sendiri atau makna sebenar
tidak akan dapat difahami pembaca.
4.2.8 Makna Emotif
Makna Emotif merujuk kepada
penggunaan perkataan yang sama makna tetapi berbeza dari segi nilai rasa
bahasanya. Contoh dapat dilihat pada halaman 107 dalam novel ini iaitu :
'Tetapi
bukannya sebagai seorang pegawai, hanya sebagai seorang manusia biasa'.
Penulis
menggunakan perkataan 'manusia' dalam ayat tersebut. Beliau boleh memilih
perkataan yang sama maksud dengan 'manusia' seperti 'insan' atau 'hamba Allah'.
Pemilihan perkataan 'manusia' menunjukkan penulis meletakkan watak itu sebagai
seorang yang biasa darjatnya berbanding dengan perkataa 'insan'.
4.3 GAYA BAHASA DALAM NOVEL
Menurut
Nik Hassan Basri ( 2007), gaya bahasa dapat dikelompokkan kepada lima jenis
iaitu gaya bahasa perbandingan, pertentangan, pengulangan, penyirnaan dan pertautan.
Tidak dapat dinafikan bahawa gaya bahasa memainkan peranan yang penting dalam
sesebuah karya. Gaya bahasa yang menjadikan sesebuah karya itu hidup atau kaku.
Dalam
novel Musafir tulisan Hassan Ali ini,
beliau telah menerapkan penggunaan unsur perbandingan personafikasi pada permulaan
perenggan iaitu menerang objek manusia
kepada bukan manusia. Ayat 'anak
sungai pinang yang jernih membelah' menjelaskan sifat air sungai pinang
membelah bahawa frasa tersebut ialah kata kerja bagi manusia dipindahkan dan
dibandingkan kepada air sungai pinang tersebut. Permulaan sebegini dilihat
menarik kerana penerapan kata-kata indah yang berkesan.
Gaya bahasa hiperbola
juga terdapat dalam karya beliau. Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan untuk menyatakan
sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Contoh dapat
dilihat pada halaman 111 novel ini iaitu :
'air matanya yang dikandung dalam dadanya telah
melimpah keluar dan akhirnya, nafasnya
telah putus di penghujung batuknya yang tidak meleking lagi. Ketika
itu datanglah awan hitam yang
menyelubungi seluruh kehidupan Leman'.
Merujuk ayat di atas, frasa awan hitam digambarkan
dengan kesedihan yang teramat sangat dilalui oleh watak. Kenyataan ini
bermaksud bahawa seluruh kehidupan Leman diselubungi kesedihan sebagaimana
ditekankan frasa 'awan hitam'
dan dibandingkan dan dikaitkan dengan kehidupan watak ketika itu.
Penulis
juga telah meletakkan gaya bahasa pengulangan anafora iaitu pengulangan kata atau frasa yang sama pada
permulaan klausa penulisannya. Contoh dapat dilihat pada halaman 130 iaitu
:
'Mereka tidak
peduli. Mereka lapar, mereka marah, mereka telah melakukan seperti
sesuatu yang dilakukan manusia yang tidak bertamadun. Dan mereka tidak sedar'.
Melalui contoh di atas dilihat pengulangan diksi 'mereka'. Pengulangan frasa ini akan
menghasilkan kesan emosi yang kuat kepada pembaca. Diksi 'mereka' merujuk kepada
pekerja-pekerja lombong yang membuat rusuhan dengan menggambarkan perasaan
mereka yang sedang marah dan inginkan tuntutan mereka dipenuhi.
Penggunaan
gaya bahasa perbandingan simile dilihat
meluas dalam penulisan karya ini. Perbandingan
simile merupakan perkataan bandingan dalam ayat yang menggunakan perkataan
seperti, umpam, bagai, bak, ibarat atau laksana. Contoh dapat dilihat pada
halaman 10 iaitu :
'Budak-budak muda itu senyap seperti tikus basah, hanya Leman
bersuara'.
Kewujudan gaya bahasa perbandingan simile dapat dilihat dengan
kehadiran frasa 'seperti'. Merujuk ayat di atas, keadaan tikus yang basah
dibandingkan dengan keadaan watak budak-budak yang hanya mendiamkan diri.
Gaya
bahasa metafora juga dimasukkan dalam novel ini. Metafora merupakan
perbandingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata 'seperti' 'bak',
'umpama' dan lain-lain seperti dalam perbandingan similie. Contoh unsur
metafora terdapat pada pada halaman 61 iaitu :
'Tetapi aku tetap macam lama, menjadi kuda
tua di pejabat'.
Penulis ingin menjelaskan kepada pembaca bahawa
watak masih bekerja di pejabat walaupun sudah tua dan pernyataan tersebut
digambarkan dengan perkataan 'kuda tua'.
5. KESIMPULAN
Pentafsiran
makna mempunyai peranan penting dalam penghasilan karya sastera. Hasil karya
sastera yang baik perlu dikaitkan dengan ilmu semantik untuk menjadikan hasil
penulisan itu dapat difahami tanpa dan menarik perhatian pembaca. Pemilihan
perkataan yang kurang tepat dalam penghasilan karya sastera kadang-kadang menjadikan
karya tersebut kurang mendapat sambutan. Pembaca mungkin akan berasa bosan sekiranya karya yang dibaca
itu sukar difahami. Kesimpulannya, kualiti sesebuah karya sastera bukan
terletak pada gaya penulisan dan bahasanya sahaja tetapi pada pemilihan serta
pentafsiran maknanya.
Post a Comment