LAMAN CIKGU BAHRI
Ketika menunggu bas sekolah, kamu berbual dengan rakan kamu tentang lawatannya baru-baru ini.

Tulis perbualan tersebut kira-kira 80 patah perkataan.

**********************************

Aiman : Assalamualaikum, Adli! Apa khabar?

Adli : Waalaikumussalam! Alhamdulillah, saya baik sahaja. Awak pula bagaimana?

Aiman : Patutlah saya nampak awak ceria sahaja. Saya juga sihat seperti biasa.
Adli! Awak pergi mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur baru-baru inikan?

Adli : Ya! Saya pergi ke sana pada hari Sabtu minggu lepas.

Aiman : Seronoklah melawat ke sanakan? Saya juga sangat berminat untuk melawat
ke tempat-tempat menarik di sana tetapi sayangnya masih belum berpeluang.
Bagaimana awak boleh mengikuti rombongan tersebut?

Adli : Rombongan ini dianjurkan oleh Kelab Komputer sekolah kita. Oleh sebab saya
ahli kelab tersebut, saya dapatlah menyertainya.

Aiman : Oh, begitu rupanya! Bagaimanapun kenapa abang saya dari Kelab Bahasa Melayu
juga turut menyertai rombongan itu?

Adli : Abang awak yang belajar di kelas 6 Amanah itu ya? Dia boleh menyertai rombongan
itu kerana dia pelajar Tahap 2. Ini kerana selain daripada Ahli Kelab Komputer,
sesiapa daripada Tahap 2 yang berminat menyertai rombongan tersebut juga turut
ditawarkan. Bagaimanapun tawaran itu terhad kepada 12 orang sahaja bagi
memenuhi kekosongan bas.

Aiman : Apa tujuan rombongan itu diadakan, Adli?

Adli : Tujuan rombongan ini diadakan untuk mendedahkan ahli kelab tentang sains
dan teknologi maklumat serta melawat tempat-tempat yang menarik seperti Petrosains
dan sebagainya lagi.

Aiman : Ramaikah yang menyertai rombongan tersebut?

Adli : Seramai 40 orang sahaja, termasuklah 4 orang guru pengiring.

Aiman : Berapakah yang perlu dibayar untuk menyertai rombongan ini?

Adli : Tidaklah mahal sangat cuma RM60 sahaja termasuk makan dan minum serta
tiket lawatan.

Aiman : Kamu melawat ke mana semasa rombongan tersebut?

Adli : Antara tempat yang kami lawati ialah Putrajaya, Menara Berkembar Petronas,
Petrosains, Menara Kuala Lumpur dan Zoo Negara.

Aiman : Seronoknya kamu ya, Adli? Entah bilalah saya pula berpeluang melawat ke sana!

Adli : Saya fikir tahun depan lawatan seperti ini akan diadakan lagi.
Mudah-mudahan awak berpeluang ke sana nanti.

Aiman : Harap-harap begitulah. Itupun bas. Mari kita pulang!

Adli : Baiklah!
0 Responses

Post a Comment