LAMAN CIKGU BAHRI

 LANGKAH PEMBELAJARAN

1. Baca dan fahami nota di bawah

1)AYAT PENYATA
Definisi:
 1. Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud untuk menyatakan atau menerangkan sesuatu hal.
2. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat berita atau ayat keterangan.

Ayat contoh:
a) Pelajar-pelajar sedang  mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
b) Normah tidak pergi ke sekolah pada hari ini.
c) Dia suka menonton rancangan televisyen.
d) Datuk sedang berehat di ruang tamu.
e) Kami sekeluarga akan melancong ke Taiwan.
 
2) AYAT SERUAN
Definisi:
1. Ayat seruan ialah ayat yang digunakan untuk melahirkan perasaan seperti takut, marah, gembira, sakit, benci dan sebagainya.
2. Tanda seru (!) biasanya diletakkan pada akhir ayat seruan.
3. Ayat seruan didahului oleh kata seru seperti amboi, wah, eh, oh, aduh, cis dan sebagainya.

Ayat contoh:
a) Amboi, cantiknya gadis itu!
b) Wah, mahalnya baju ini!
c) Oh, aku lupa bawa wang hari ini!
d) Cis, berani kamu pukul saya!
e) Syabas, kamu telah menang!

3) AYAT TANYA
Definisi:
1. Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk menanyakan sesuatu hal.
2. Terdapat dua jenis ayat tanya, iaitu ayat tanya tanpa kata tanya dan ayat tanya dengan kata tanya.
3. Tanda soal (?) diletakkan pada akhir ayat dalam tulisan.

Ayat Tanya Tanpa Kata Tanya
1. Ayat tanya tanpa kata tanya ialah ayat yang diucapkan dengan meninggikan nada suara pada akhir ayat penyata.
2. Dalam tulisan, nada tanya ini ditandai dengan tanda soal (?).

Ayat contoh:
a)  Adik masih belum makan?
b)  Pertandingan perbahasan itu akan diadakan minggu hadapan?
c)   Bas itu sudah bertolak?

Ayat Tanya Dengan Kata Tanya
1) Ayat tanya dengan kata tanya ialah ayat yang menggunakan kata tanya seperti apa, siapa, bila, mana, bagaimana dan sebagainya.

Ayat contoh:
a) Barang itu apa?
b) Pemain piano itu siapa?
c) Hari jadi kamu bila?

2) Dalam bentuk tulisan, ayat-ayat tanya ini perlu menerima partikel "-kah" dan diletakkan di hadapan ayat.

Ayat contoh:
a) Apakah barang itu?
b) Siapakah pemain piano itu?
c) Bilakah hari jadi kamu?


4) AYAT PERINTAH
1. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.
2. Ayat perintah terdiri daripada empat jenis, iaitu:

a) Ayat Suruhan
- Minumlah teh ini dahulu.

b) Ayat Larangan
-  Jangan petik bunga itu.
- Usah bermain di tepi jalan.
- Tak usah kau campur tangan dalam hal saya.

c) Ayat Silaan
- Silalah pakai topi keledar.
- Jemput makan bersama-sama.

d) Ayat Permintaan
- Minta anda semua bersabar.
- Tolong ambilkan saya secawan air.

2. Salin nota di atas ke dalam buku latihan BM anda.

3. Aktiviti pengayaan :
    Jawab soalan kuiz melalui pautan di bawah.

0 Responses

Post a Comment