LAMAN CIKGU BAHRI
Sekolah kamu telah mengadakan kempen menjaga kebersihan diri. Kamu sebagai ketua murid diminta menyampaikan ucapan tentang cara-cara menjaga kebersihan diri.
*** *** *** *** ***

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan seperjuangan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Cara-cara Menjaga Kebersihan Diri".

Hadirin sekalian,

Menjaga kebersihan diri amat penting untuk kebahagiaan hidup kita. Kita mesti memastikan telinga sentiasa bersih kerana telinga juga boleh mengalami pelbagai penyakit jika tidak dibersihkan dengan sebaiknya. Kita perlu membersihkan telinga sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan menggunakan putik kapas yang lembut.

Selain itu, kita mesti mandi pada setiap hari supaya badan kita bersih serta mengelakkan daripada terkena penyakit kulit dan berbau. Badan yang bersih akan menjadi kita sihat dan selesa.

Kita perlu menggosok gigi sekurang-kurangnya tiga kali sehari. Kebersihan gigi amat penting untuk mengelakkan daripada kerosakan gigi serta menjadikan kita lebih berkeyakinan semasa bergaul dengan orang ramai.

Kita hendaklah memotong kuku kerana kuku yang panjang boleh menyimpan kekotoran. Kotoran yang melekat pada kuku yang panjang itu mengandungi kuman yang boleh tersebar ke dalam badan kita semasa kita makan. Ini akan menyebabkan kita terkena penyakit seperti cirit-birit dan sebagainya.

Hadirin sekalian,

Kita perlu menjaga kebersihan rambut dengan menggunakan syampu untuk membersihkan rambut kita. Rambut yang bersih tidak mudah dihinggapi kelemumur, kutu dan penyakit kulit kepala.

Kesimpulannya, menjaga kebersihan diri amat penting kepada manusia. Oleh itu, kita mestilah mengambil berat tentang kebersihan diri untuk keselesaan dan kebahagiaan hidup kita.

Sekian, terima kasih.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Anda selaku ketua darjah diminta menyampaikan ucapan dalam majlis perpisahan untuk murid-murid Tahun Enam.
____________________________________________________________________________

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru serta rakan-rakan sekalian. Terima kasih saya ucapkan kepada rakan-rakan kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dalam majlis perpisahan ini.

Hadirin sekalian,

Sudah hampir 6 tahun kami berada di sekolah ini. Jika menghitung hari persekolahan, bermakna tinggal 6 hari lagi kami menjadi warga sekolah ini. Justeru, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada guru-guru dan adik-adik yang dikasihi walaupun kami masih terlalu sayang untuk meninggalkan sekolah ini.

Kami amat menghargai akan jasa guru-guru di sekolah ini yang mendidik kami dengan penuh dedikasi, sabar, dan penuh kasih sayang. Dengan didikan dan bimbingan gurulah kami telah tahu membaca, menulis, dan megira. Kami akan sentiasa mengingati pesanan guru-guru yang ingin melihat kami menjadi insan yang berakhlak dan berguna kepada masyarakat dan negara.

Hadirin sekalian .

Budi yang guru-guru taburkan tidak mampu kami membalasnya. Hanya doa untuk kesejahteraan sahaja yang mampu kami lakukan sebagai membalas segala jasa guru-guru itu. Kami berjanji akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah menengah nanti.

Akhir kata saya mewakili rakan-rakan memohon maaf atas segala kesilapan dan kesalahan sepanjang kami berada di sekolah ini. Halalkan segala ilmu yang guru-guru curahkan kepada kami. Kami berasa sangat sedih kerana terpaksa meniggalkan sekolah ini. Jasa dan bakti guru-guru akan kami kenang sehingga akhir hayat kami.

Sebelum saya mengundur diri terimalah serangkap pantun daripada saya;

Ramai orang menanam padi,
Padi ditanam hingga ke seberang,
Banyak budi perkara budi,
Budimu guru dikenang orang.

Sekian, terima kasih.
LAMAN CIKGU BAHRI
Terima kasih kepada Tuan Pengerusi Majlis, Yang Dihormati Guru Besar Sekolah Kebangsaan Cahaya Pintas, Encik Nor Razif bin Mohd. Adib. Guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Hadirin sekalian,

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana memberi kesempatan kepada saya untuk berucap dalam majlis yang berbahagia ini. Hari guru disambut seluruh negara pada 16 Mei setiap tahun untuk menghargai jasa guru kita yang membimbing, mengajar dan mendidik kita menjadi seorang insan dan sanggup menjadi pelita untuk menerangi hidup kita gelap-gelita.

Jasa guru tidak dapat kita gambarkan. Seperti saya katakan tadi, membimbing, mengajar dan mendidik adalah antara jasa-jasa seorang insan yang bergelar guru. Guru juga perlu memikul tanggungjawab yang tinggi contohnya menjadi ibubapa kita di sekolah.

Dalam kesempatan ini juga, saya ingin berpesan kepada rakan-rakan sekalian, hormati, sayang dan anggaplah guru itu umpama ibu bapa kita. Kita juga mempunyai tanggungjawab untuk menjadi seorang anak dan murid yang sempurna.

Guru-guru sekalian,

Saya mewakili rakan-rakan saya, berjanji agar menghormati dan menyayangi guru-guru sekalian dan kami juga ingin menyusun sepuluh jari supaya guru-guru dapat memaafi kesemua kesalahan kami dari hujung rambut hingga hujung kaki.

Saya berharap dan berdoa agar guru-guru sekalian sihat dan terus membimbing dan mendidik lebih lagi anak muda bagi membentuk insan yang berguna untuk negara dan bangsa serta agama.

Akhir kata, saya mewakili rakan-rakan memohon maaf sekali lagi andai kata kami terkasar kata atau tidak beradap kepada guru sekalian. Sesungguhnya, yang baik itu datang daripada Allah dan yang buruk itu datang daripada kami. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, terimalah serangkap pantun yang berbunyi

Hati masih terburu-buru,
Setiap adrenalin seperti matu,
Terima kasih guru-guru,
Menjadi lilin penerang hati.

Sekian, terima kasih.
LAMAN CIKGU BAHRI
Amira : Selamat pagi, Ainnur. Silakan duduk.

Ainnur : Terima kasih. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada saudari kerana telah
               terpilih sebagai murid cemerlang.

Amira : Terima kasih. Saya berasa bersyukur atas kejayaan saya ini. Apakah tujuan awak datang ke
sini?

Ainnur : Tujuan saya datang ke sini adalah untuk menemu ramah saudari.

Amira : Boleh, apa salahnya.

Ainnur : Siapakah yang banyak mendorong saudari untuk mencapai kejayaan dalam bidang akademik?

Amira : Guru-guru dan ibu bapa yang banyak mendorong saya mencapai kejayaan ini.

Ainnur : Bagaimanakah saudari boleh terpilih sebagai murid cemerlang?

Amira : Saya tidak pasti tetapi mungkin kerana saya selalu mendapat keputusan yang baik dalam
ujian dan peperiksaan termasuk peperiksaan UPSR. Selain itu saya banyak mewakili sekolah
dalam beberapa pertandingan. Di samping itu juga, saya tidak pernah terlibat dengan masalah
disiplin di sekolah.

Ainnur : Apakah nasihat saudari kepada rakan-rakan yang ingin berjaya dalam pelajaran?

Amira : Nasihat saya kepada rakan-rakan supaya mendengar nasihat guru dan ibu bapa serta
menumpukan perhatian semasa guru mengajar.

Ainnur : Terima kasih atas kesudian saudari untuk ditemu ramah.

Amira : Terima kasih.
LAMAN CIKGU BAHRI
Ketika menunggu bas sekolah, kamu berbual dengan rakan kamu tentang lawatannya baru-baru ini.

Tulis perbualan tersebut kira-kira 80 patah perkataan.

**********************************

Aiman : Assalamualaikum, Adli! Apa khabar?

Adli : Waalaikumussalam! Alhamdulillah, saya baik sahaja. Awak pula bagaimana?

Aiman : Patutlah saya nampak awak ceria sahaja. Saya juga sihat seperti biasa.
Adli! Awak pergi mengikuti rombongan ke Kuala Lumpur baru-baru inikan?

Adli : Ya! Saya pergi ke sana pada hari Sabtu minggu lepas.

Aiman : Seronoklah melawat ke sanakan? Saya juga sangat berminat untuk melawat
ke tempat-tempat menarik di sana tetapi sayangnya masih belum berpeluang.
Bagaimana awak boleh mengikuti rombongan tersebut?

Adli : Rombongan ini dianjurkan oleh Kelab Komputer sekolah kita. Oleh sebab saya
ahli kelab tersebut, saya dapatlah menyertainya.

Aiman : Oh, begitu rupanya! Bagaimanapun kenapa abang saya dari Kelab Bahasa Melayu
juga turut menyertai rombongan itu?

Adli : Abang awak yang belajar di kelas 6 Amanah itu ya? Dia boleh menyertai rombongan
itu kerana dia pelajar Tahap 2. Ini kerana selain daripada Ahli Kelab Komputer,
sesiapa daripada Tahap 2 yang berminat menyertai rombongan tersebut juga turut
ditawarkan. Bagaimanapun tawaran itu terhad kepada 12 orang sahaja bagi
memenuhi kekosongan bas.

Aiman : Apa tujuan rombongan itu diadakan, Adli?

Adli : Tujuan rombongan ini diadakan untuk mendedahkan ahli kelab tentang sains
dan teknologi maklumat serta melawat tempat-tempat yang menarik seperti Petrosains
dan sebagainya lagi.

Aiman : Ramaikah yang menyertai rombongan tersebut?

Adli : Seramai 40 orang sahaja, termasuklah 4 orang guru pengiring.

Aiman : Berapakah yang perlu dibayar untuk menyertai rombongan ini?

Adli : Tidaklah mahal sangat cuma RM60 sahaja termasuk makan dan minum serta
tiket lawatan.

Aiman : Kamu melawat ke mana semasa rombongan tersebut?

Adli : Antara tempat yang kami lawati ialah Putrajaya, Menara Berkembar Petronas,
Petrosains, Menara Kuala Lumpur dan Zoo Negara.

Aiman : Seronoknya kamu ya, Adli? Entah bilalah saya pula berpeluang melawat ke sana!

Adli : Saya fikir tahun depan lawatan seperti ini akan diadakan lagi.
Mudah-mudahan awak berpeluang ke sana nanti.

Aiman : Harap-harap begitulah. Itupun bas. Mari kita pulang!

Adli : Baiklah!
LAMAN CIKGU BAHRI
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Cara- cara Mengurangkan Kadar Kemalangan Jalan Raya di Negara Kita".

Hadirin sekalian,

Kita boleh mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara kita dengan mematuhi peraturan-peraturan jalan raya yang ditetapkan seperti tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu, mematuhi lampu isyarat dan sebagainya lagi. Ini kerana, peraturan-peraturan ini diwujudkan bagi menjaga keselamatan para pengguna jalan raya itu sendiri.

Menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh mengurangkan kosentrasi. Ini tentu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

Selain itu, pemandu mesti memeriksa kenderaan sebelum pemanduan. Antara yang mesti diperiksa ialah tayar, enjin dan lain-lain lagi. Ini kerana banyak kemalangan yang berlaku akibat kerosakan kereta semasa dalam pemanduan.

Hadirin sekalian,

Pihak-pihak yang bertanggungjawab mestilah mengambil berat tentang keadaan struktur jalan raya. Ini kerana, keadaan struktur jalan raya yang teruk juga banyak menyumbang kepada kemalangan.

Di samping itu, pemandu juga haruslah memandu dengan had laju yang ditetapkan. Memandu kenderaaan dengan laju boleh menyebabkan kita hilang kawalan terutama apabila berlaku sesuatu kejadian yang tidak disangka atau mencemaskan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Akhir sekali, sekali lagi saya ingin mengingatkan kepada semua supaya sentiasalah berwaspada semasa memandu di jalan raya. Bak kata pepatah, "Biar lambat asalkan selamat".

Sekian, terima kasih.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

                                                     No. 74, Taman Seri Merapoh,
                                                     27210 Merapoh,
                                                     Kuala Lipis,
                                                     Pahang. Darul Makmur.

                                                    26 Januari 2011

Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali, sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

                                                                                 Sahabatmu,


                                                                               .............................
                                                                            (Khairi bin Zaideen )
LAMAN CIKGU BAHRI
                                                             No. 07, TJ 1/8,
                                                             Taman Temerloh Jaya,
                                                             28000 Temerloh,
                                                             Pahang.

                                                             27 Jun 2012

Assalamualaikum, menemui sahabatku Fatimah yang ku rindui selalu. Diharapkan saudari sihat seisi keluarga. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk bertanya khabar dan menceritakan pengalaman saya semasa lawatan ke Melaka.

Pada 20 Jun 2012, saya telah menyertai lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah. Lawatan ini dianjurkan oleh Kelab Bahasa Melayu sekolah saya. Rombongan itu disertai oleh 40 orang murid dan 5 orang guru pengiring. Kami pergi ke sana dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk memberi peluang kepada murid melihat sendiri kesan-kesan sejarah negeri Melaka di samping melawat beberapa tempat menarik di negeri tersebut.

Sebelum bertolak ke sana, kami diminta berkumpul di dataran sekolah seawal pukul 7.30 pagi. Setelah diberi taklimat ringkas, kami mula bertolak ke sana kira-kira pukul 8.00 pagi dan tiba di Bandar Melaka sekitar pukul 12.00 tengah hari.

Semasa perjalanan, kami berhenti di pekan Bahau untuk bersarapan. Saya sungguh gembira melihat pemandangan yang indah sepanjang perjalanan tersebut. Tempat pertama yang kami singgah setelah tiba di Melaka ialah Zoo Melaka. Di situ kami dapat melihat pelbagai jenis hidupan liar seperti harimau, gajah, singa, rusa, kijang, zirafah dan lain-lain lagi. Kami berasa amat gembira kerana dapat melihat sendiri gelagat haiwan liar itu.

Selepas itu, kami pergi pula ke Taman Buaya yang terletak berhampiran dengan zoo tersebut. Pelbagai jenis buaya terdapat di sini seperti buaya tembaga, buaya katak dan lain-lain lagi. Saya berasa sungguh ngeri apabila melihat seekor buaya tembaga menyambar bangkai ayam yang dicampakkan oleh seorang pengawal kolam buaya di situ.

Kemudian, pada pukul 1.30 petang, kami pergi ke Taman Rekreasi Air Keroh untuk makan tengah hari. Selepas itu kami pergi pula ke Tugu A Famosa. Di situ, kami melihat kesan-kesan tinggalan sejarah di Zaman Penjajahan Portugis di Melaka. Ramai murid dan guru tidak melepaskan peluang untuk membeli pelbagai cenderamata di gerai-gerai yang banyak terdapat di situ.

Di situ juga kami diberi peluang untuk masuk dan melihat sendiri Model Kapal Perang Portugis yang pernah menyerang Melaka pada suatu masa dahulu. Selain itu, saya juga dapat menaiki Menara Taming Sari. Walaupun berasa takut tetapi saya gembira kerana dapat melihat hampir seluruh Bandaraya Melaka dari menara tersebut.

Sebelum bertolak balik, kami singgah pula di sebuah pasar raya besar di bandaraya ini. Kemudian, kira-kira pada pukul 6.00 petang, kami singgah di Masjid Negeri Melaka untuk sembahyang dan makan malam. Kami tiba di sekolah semula kira-kira pukul 12.00 tengah malam. Saya amat gembira kerana turut meyertai lawatan tersebut.

Akhir sekali, jika saudari ada cerita-cerita yang menarik, sudilah ceritakan kepada saya di sini kerana saya selalu menunggu-nunggu khabar daripada saudari. Sekian sahaja untuk kali ini. Di harap saudari sudi membalas surat saya.

Sahabatmu
Amirull
       
LAMAN CIKGU BAHRI
Ketua Kampung
Kampung Bukit Kelulut,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

_________________________________________________________________________

Tuan Pengarah
Jabatan Bekalan Air Temerloh,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur.                                     20 April 2012

Tuan,

GANGGUAN BEKALAN AIR PAIP

Berhubung perkara di atas, saya Riduan bin Ramli selaku ketua kampung Kampung Bukit Kelulut ingin membuat aduan tentang gangguan bekalan air paip yang sering berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

2. Gangguan bekalan air ini telah menimbulkan banyak masalah kepada penduduk kampung ini. Antara masalah tersebut ialah kesukaran untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian seperti mandi, membasuh, memasak dan lain-lain lagi.

3. Oleh sebab itu, penduduk kampung ini terpaksa menggunakan sumber air alternatif yang tidak dirawat seperti air sungai, air parit atau air perigi untuk dijadikan air minuman dan pelbagai kerja yang lain. Selain menyusahkan mereka, punca-punca air ini juga tidak terjamin daripada segi kesihatan. Ini kerana lokasi kampung ini yang berhampiran dengan kawasan industri dan bandar boleh menyebabkan pencemaran air berlaku.

4. Sejak akhir-akhir ini, penduduk kampung mula mengeluh kerana pelbagai penyakit telah menyerang mereka. Antara penyakit tersebut ialah demam, selsema dan penyakit kulit. Saya bimbang keadaan ini berpunca akibat penggunaan air yang telah tercemar.

Saya sebagai wakil penduduk kampung berharap pihak tuan mengambil tindakan segera akan masalah yang dilaporkan ini. Kerjasama daripada pihak tuan amat kami hargai.

Sekian, terima kasih.


"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"

Yang benar,

...................................
(RIDUAN BIN RAMLI)
Ketua Kampung Bukit Kelulut,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

LAMAN CIKGU BAHRI
Persatuan Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan   Taman Perling,
81200 Johor Bahru,
Johor.

________________________________________________________________________

Tuan Pengurus,                                                                          
Kilang Perabot TM Jaya Sdn. Bhd,
28000 Temerloh,
Pahang..                                                       14 April 2014

Tuan,

Lawatan Sambil Belajar

Berhubung perkara di atas, saya, Siti Aishah bt Sahari, setiausaha Persatuan Alam Sekitar ingin memohon mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat tuan.

2. Tujuan kami mengadakan lawatan ini adalah untuk:
i. melihat sendiri dengan lebih dekat proses perabot-perabot dihasilkan di kilang.
ii. mengetahui jenis-jenis kayu yang sesuai yang sering digunakan untuk membuat perabot.
iii. menambah ilmu pengetahuan tentang pembuatan perabot kayu.
iv. mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil untuk memelihara hutan dan alam sekitar.
Ini akan membantu kami dalam pelajaran terutama mata pelajaran Kemahiran Hidup dan Pendidikan Alam Sekitar.

3. Kami memilih mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat tuan kerana syarikat tuan amat terkenal dalam menghasilkan barangan perabot yang yang bermutu tinggi, tahan lama dan model yang menarik serta terkini. Selain itu, harganya pula amat berpatutan dengan kualiti barangan yang dihasilkan.

4. Untuk pengetahuan pihak tuan, ahli rombongan kami seramai 42 orang yang terdiri daripada 20 orang murid lelaki, 19 orang murid perempuan dan 3 orang guru pengiring. Butir-butir lawatan ini ialah seperti berikut:
Tarikh : 19 April 2012
Masa : 9.00 pagi
Kenderaan : Bas

5. Kerjasama daripada pihak tuan kami dahului dangan ucapan terima kasih.
Sekian, Terima Kasih.

Yang benar,

.....................................
(SITI AISHAH BT SAHARI)
Setiausaha Persatuan Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Taman Perling,
Johor Bahru.
LAMAN CIKGU BAHRI
Sharifah Shahirah binti Ali,
No. 4, Jalan Rawa 8,
Taman Perling,
81200 Johor Bahru,
Johor.
_____________________________________________________________________________

Pengurus                                                                                                 
MYKAMS Enterprise,
No. 5, Kedai Setingkat,
Jalan Parit 13 Sungai Panjang,
45300 Sungai Besar,
Selangor Darul Ehsan,
Malaysia.                                                           14 April 2014

Tuan,

MEMESAN BUKU CERITA.

Berhubung perkara di atas, saya Suhaimi bin Ramli ingin memesan beberapa buah buku cerita yang diterbitkan oleh syarikat tuan seperti yang diiklankan di dalam akhbar Berita Harian.

2. Tujuan saya memesan buku-buku tersebut adalah untuk mengisi masa lapang dan juga untuk kegunaan adik-adk saya. Saya memilih syarikat tuan kerana saya mendapati buku-buku yang diterbitkan oleh syarikat tuan bermutu tinggi dan harganya pula berpatutan.

3. Buku-buku yang ingin saya pesan adalah seperti berikut:
1. Tiga orang Bidadari : RM 12.30
2. Hadiah untuk Ayah : RM 12.50
3. Cikgu Amira : RM 12.20
4. Kembara Seorang Hamba : RM 18.00
5. Tangisan Berdarah : RM 15.80
6. Mulanya Di sini : RM 15.00
Jumlah = RM 85.80

4. Bersama-sama ini saya sertakan wang kiriman pos sebanyak RM85.80 bagi bayaran buku-buku tersebut. Jumlah wang tersebut tidak termasuk perbelanjaan pengiriman atau penghantaran kerana mengikut iklan yang disiarkan di dada akhbar, semua kos penghantaran buku ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tuan.

Saya berharap agar syarikat tuan dapat mengirimkan buku-buku tersebut dengan segera. Kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian ,terima kasih.

Yang benar,

.......................................
(SUHAIMI BIN RAMLI)

LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Baru-baru ini, banyak kes kecurian berlaku di kampung anda. Sebagai setiausaha persatuan penduduk, anda diminta untuk menulis surat kepada pihak berkuasa tempatan. Kemukakan cadangan anda bagi menangani masalah tersebut. Tulis surat itu selengkapnya.
********************************************************************
 
Setiausaha,
JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.

___________________________________________________________________________

Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan,
27100 Kuala Lipis,
Pahang.                                                       24 APRIL 2012

Tuan,

ADUAN MASALAH KECURIAN

Berhubung perkara di atas, saya mewakili penduduk kampung ingin membuat aduan tentang masalah kecurian yang sering berlaku di kampung kami.

2. Sejak akhir-akhir ini kecurian sering berlaku di tempat tinggal kami terutama pada waktu malam. Hal ini menyebabkan penduduk kampung berasa takut dan bimbang.

3. Pada 20 April 2012 yang lalu, satu lagi kecurian telah berlaku di kampung kami iaitu di rumah Pak Ali. Banyak barang berharga kepunyaan keluarganya telah dicuri. Antaranya barang-barang kemas, laptop dan tekefon bimbit. Kejadian ini amat membimbangkan semua penduduk kampung.

4. Kecurian ini mungkin dilakukan oleh orang yang berpengalaman dan dilakukan dengan terancang kerana kebanyakan kecurian itu tidak disedari langsung oleh tuan rumah sehinggalah mereka bangun tidur pada waktu pagi. Selain itu, pencuri mungkin menggunakan peralatan yang canggih kerana mereka dapat memasuki rumah mangsa dengan mudah dan tanpa bunyi bising.

5. Kami percaya pencuri-pencuri itu terdiri daripada kumpulan yang sama. Mereka melakukan jenayah dengan memakai topeng. Ini berdasarkan maklumat salah seorang penduduk yang pernah terlihat kelibat mereka yang melarikan diri selepas melakukan kegiatan tersebut.

Sehubungan dengan itu, penduduk kampung bertindak dengan menjalankan rodaan secara bergilir-gilir pada setiap malam. Namun begitu, kami masih mengharapkan bantuan daripada pihak tuan agar penjenayah tersebut dapat ditangkap, seterusnya menyelesaikan masalah ini sepenuhnya.

Sekian, Terima kasih.

Yang benar,
(kamarudin)
Setiausaha,
JKKK Kampung Merapoh,
27210, Kuala Lipis,
Pahang.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Baru-baru ini kamu tidak dapat hadir ke sekolah kerana menziarahi datuk kamu yang sedang sakit tenat di kampung.
Tulis sepucuk surat kepada guru kamu untuk memaklumkan perkara tersebut.
         ****************************************************************
 
No 7, TJ 1/8, Taman Temerloh Jaya,
28000 Temerloh,
Pahang. Darul Makmur

--------------------------------------------------------------------------

Puan Zaiton binti Haji Ulis,
Guru Kelas Tahun 4 Amanah,
Sekolah Kebangsaan Seri Tualang,
28000, Temerloh,
Pahang. Darul Makmur.                                    4 Oktober 2012

Puan,

TIDAK DAPAT HADIR KE SEKOLAH

Saya Mohd Hasif Zakwan bin Ahmad, murid Tahun 4 Amanah tidak dapat hadir ke sekolah pada hari Jumaat, 5 Oktober 2012 hingga kepada tarikh yang tidak dapat dipastikan lagi.

2. Hal ini demikian kerana saya terpaksa mengikut ibu bapa pulang ke kampung Merapoh untuk menziarahi datuk saya yang diberitakan sedang sakit tenat pada masa ini.

3. Saya mungkin berada di kampung selama beberapa hari dengan mengikut sahaja keputusan ibu bapa saya selagi mereka berasa perlu untuk berada di sana.

4. Saya berharap cikgu dapat mendoakan agar kesihatan datuk saya pulih kembali seperti biasa dan membolehkan saya kembali bersekolah.

5. Kerjasama serta pertimbangan cikgu amat saya hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.

Yang Benar,

Hasifzakwan
(MOHD HASIF BIN AHMAD)
LAMAN CIKGU BAHRI
Kelab Alam Sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu,
28000 Temerloh,
Pahang.

Pegawai Daerah,
Kompleks Kerajaan,
28000 Temerloh,
Pahang.                                                       02 Oktober 2012

Tuan,

PERCEMARAN DI KAMPUNG BELENGU

Berhubung perkara di atas, saya selaku pengerusi Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu ingin memaklumkan kepada pihak tuan tentang masalah pencemaran di Kampung Belengu, Temerloh, Pahang.

2. Percemaran ini berlaku sebaik sahaja pembukaan operasi kuari di Bukit Ara. Pembukaan ini telah menyebabkan debu-debu berterbangan dan berlakunya pencemaran udara. Banyak penduduk menghidapi asma dan batuk sejak akhir-akhir ini.

3. Pembukaan kuari ini juga, telah menyebabkan berlakunya pencemaran air. Sungai yang dahulunya, merupakan sumber ikan yang banyak kini telah tercemar. Airnya pula telah menjadi keruh dan berlumpur.

4. Kerja-kerja pembukaan ini juga telah menyebabkan berlakunya pencemaran bunyi. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman penduduk kampung.

5. Saya bagi pihak Kelab Alam Sekitar Sekolah Kebangsaan Belengu memohon jasa baik tuan untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin. Kerjasama daripada pihak tuan saya dahului dengan ucapan terima kasih.

Sekian, terima kasih.



Yang benar,



(NUR NADIRAH BT. AHMAD)
Pengerusi
Kelab Persatuan Alam sekitar,
Sekolah Kebangsaan Belengu,
28000 Temerloh,
Pahang.
LAMAN CIKGU BAHRI
Biar Lambat Asal Selamat

Peribahasa ‘Biar Lambat Asal Selamat’ membawa maksud sesuatu pekerjaan yang hendak dibuat biarlah dibuat dengan cermat dan berhati-hati supaya pekerjaan itu berhasil dengan baik.

Ada sesetengah orang kurang sabar dalam melakukan sesuatu kerana pelbagai sebab sehingga mereka mengabaikan akibatnya.

Sebagai contoh, seorang pemandu yang memandu kenderaannya dengan laju kerana ingin segera sampai ke destinasi, akhir mengalami kemalangan di jalan raya.

Setelah terjadi kemalangan, pemandu itu tentu menyelasal kerana memandu dengan laju. Ketika itulah dia akan terfikir perkara itu tidak akan terjadi jika dia sabar dan cermat ketika memandu.

Peribahasa di atas adalah satu contoh yang paling baik dalam kehidupan kita seharian. Orang yang selalu mengamalkan peribahasa ini tidak mudah ditimpa bencana dalam setiap tindakan yang dilakukannya, kecualilah jika itu sudah ditakdirkan tuhan.
LAMAN CIKGU BAHRI
Bagai Aur Dengan TebingPeribahasa "Bagai Aur Dengan Tebing" bermaksud tolong-menolong di antara satu sama lain. Seumpama serumpun aur di tebing. Aur menumpang pada tebing untuk mendapatkan air, manakala tebing pula memerlukan aur supaya tebing tidak mudah terhakis.

Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya. Oleh itu, manusia harus hidup bekerjasama dan saling bantu-membantu seperti aur dengan tebing. Hidup begini dikatakan sepakat dan menjadikan sesuatu kerja itu lebih mudah dan cepat disiapkan.

Semangat kerjasama dan gotong-royong sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar dalam segala lapangan kehidupan. Sebagai contoh, mereka bercucuk tanam dan menuai hasil tanaman mereka secara bergotong-royong. Begitu juga jika ada majlis perkahwinan, lazimnya orang kampung akan bergotong-royong untuk menjayakan majlis tersebut. Bahkan sesetengah tempat, orang kampung membina masjid secara bergotong-royong.

Peribahasa ini juga ada persamaan maksud dengan peribahasa “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, dan “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama digigit”.

Kesimpulannya, peribahasa ini amat baik untuk diteladani bersama terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda kerana semangat bekerjasama ini semakin kurang diamalkan oleh mereka.
_______________________________________________

Senaraikan isi-isi penting yang terdapat dalam karangan di atas.
1. “Bagai Aur Dengan Tebing” bermaksud tolong-menolong.
2. Setiap orang memerlukan orang lain dalam kehidupannya.
3. Bekerjasama dan saling bantu-membantu akan memudah dan mempercepatkan kerja.
4. Nilai ini sudah lama diamalkan oleh masyarakat luar bandar.
5. Harus diteladani terutama oleh masyarakat di bandar serta generasi muda.
LAMAN CIKGU BAHRI
Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku ....

*** *** *** *** ***

Ketika aku pulang dari sekolah, aku ternampak seorang kanak-kanak sedang menangis di tepi jalan. Aku berasa simpati melihat budak itu.

Aku terus menghampiri budak tersebut sambil menuntun basikalku. Rupa-rupanya budak itu ialah anak jiranku, Nurul. Aku memujuk Nurul supaya berhenti menangis. Aku menyuruh Nurul menceritakan apa yang telah berlaku. Rupa-rupanya Nurul ketinggalan bas. Aku cuba mententeramkannya dan berjanji akan menghantarnya pulang.

Aku menyuruh Nurul membonceng basikalku. Dalam keadaan panas terik, aku terpaksa mengayuh basikalku lebih berat daripada biasa menuju ke rumahnya yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ. Ini sungguh memenatkan. Namun, aku gembira kerana dapat menghantarnya pulang ke rumah.

Bajuku telah pun basah lencun dengan peluh setibanya kami di halaman rumahnya. Nurul kelihatan amat gembira sekali lalu mengucapkan terima kasih kepadaku sebelum ia beredar ke rumahnya.

Setibanya di rumah, aku ditegur oleh ibu bapaku kerana pulang lewat. Namun, selepas aku menceritakan peristiwa tersebut, mereka memuji tindakanku itu. Kata ayah, "Kita haruslah menolong orang yang kesusahan. Apatah lagi, jika orang itu ialah jiran atau saudara mara sendiri".
Anda mungkin juga meminati:
LAMAN CIKGU BAHRI
Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan .....

*** *** *** *** ***

Sebaik sahaja loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat, aku terus menuju ke pintu pagar sekolah untuk pulang cepat. Ketika dalam perjalanan pulang, aku terdengar suara wanita menjerit. Rupa-rupanya beg tangan wanita itu diragut oleh dua orang lelaki bermotosikal. Apa yang mengejutkan wanita itu ialah jiranku Mak Cik Nadia.

Aku terus mencatat nombor plat motosikal yang ditunggang oleh dua orang peragut tersebut. Aku memujuk Mak Cik Nadia supaya bersabar. Nasib baik Mak Cik Nadia tidak mengalami kecederaan yang teruk.

Aku terus ke pondok telefon yang berhampiran untuk menelefon pihak polis. Tidak lama kemudian, beberapa orang polis datang. Meraka membawa aku dan Mak Cik Nadia ke balai polis untuk membuat laporan. Aku memberitahu nombor plat motosikal dan jenis motosikal peragut itu. Aku juga memberitahu yang mereka melarikan diri ke Jalan Sulaiman. Pihak polis mengucapkan terima kasih kepadaku.

Setelah beberapa jam, pihak polis berjaya memberkas dua orang lelaki tersebut. Pihak polis menghantar aku dan Mak Cik Nadia pulang ke rumah. Ibu bapaku berasa terkejut sebaik sahaja melihat aku keluar daripada kereta polis. Pihak polis menceritakan kepada ibu bapaku apa yang terjadi.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN:
ku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba .....
*** *** *** *** ***

Aku baru selesai menghadiri kelas tambahan. Aku segera mengambil basikalku di tempat letak basikal. Tiba-tiba aku dapati kunci basikalku hilang. Aku berasa sungguh bimbang.

Aku cuba mencari kunci basikalku di tempat letak basikal. Malangnya, masih tidak jumpai. Jam tanganku sudah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang. Aku berasa sangat takut kerana kawasan itu mulai sunyi.

Aku terus pergi ke pondok telefon yang berhampiran. Mujurlah aku mempunyai wang syiling. Aku terus menelefon ibuku untuk memberitahu hal tersebut. Dengan tenang, ibuku memintaku jangan ke mana-mana sementara menunggu beliau datang menjemputku.

Tidak lama kemudian, ibuku pun tiba. Tanpa berlengah, aku menolong ibuku mengangkat basikal untuk dimasukkan ke dalam kereta. Kemudian, beliau memandu keretanya ke kedai membuat kunci untuk menempah kunci baru basikalku.

Aku berasa gembira setelah kunci basikal dibaiki semula. Namun, aku juga berasa sungguh sedih kerana semenjak kejadian itu, aku tidak lagi berbasikal bersama rakan-rakanku ke kelas tambahan. Ibu dan bapaku melarang aku menunggang basikal ke kelas tambahan kerana bimbang akan keselamatanku jika peristiwa seperti tersebut berulang. Sebaliknya, aku akan dihantar oleh ayah setiap kali ada kelas tambahan. Inilah akibatnya seorang yang cuai
LAMAN CIKGU BAHRI
Keseronokan meneroka Hutan Simpan itu menyebabkan kami lupa akan kepenatan yang kami alami. Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…

Mulakan cerita kamu dengan, ‘Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit…’
--------------------------------------------------------------------------------
Rangka karangan:
- terpijak jerat
- badannya tergantung di atas pokok
- cikgu mententeramkan Anita.
- cikgu meniliti jerat
- punca ikatan dijumpai
- murid diminta menyambut Anita
- murid lain memegang tali yang akan dihuraikan
- kami bersyukur kerana Anita selamat.
----------------------------------------------------------------------

Tiba-tiba, Anita yang berjalan di belakang menjerit meminta tolong. Kami semua amat terkejut lantas menoleh ke arahnya. Alangkah terkejutnya apabila terlihat Anita terbuai-buai pada seutas tali yang tergantung pada sebatang dahan pokok. Tanpa berlengah, kami terus berlari menghampirinya. Rupa-rupanya kaki kanan Anita telah terkena jerat yang mungkin dipasang oleh pemburu.

Anita menangis dan meronta-ronta untuk melepaskan diri daripada lilitan jerat tersebut. Cikgu Ali segera mententeramkan Anita kerana bimbang kaki Anita akan tercedera teruk.

Kemudian, Cikgu Ali melihat jerat itu dengan teliti untuk mencari jalan melepaskan Anita. Akhirnya, kami menemui punca ikatan jerat itu yang diikat pada pangkal pokok tersebut. Bolehlah Anita diturunkan dengan melepaskan ikatan itu nanti.

Cikgu Ali menyuruh kami bersedia di bawah tempat Anita tergantung untuk menyambutnya. Manakala beberapa orang murid lagi diminta untuk memegang tali yang akan dihuraikan oleh Cikgu Ali supaya Anita dapat diturunkan dengan perlahan-lahan.

Setelah kami semua bersedia, Cikgu Ali pun membuka ikatan jerat itu dengan berhati-hati. Kemudian, Anita diturunkan dengan perlahan-lahan. Akhirnya, Anita berjaya diturunkan dengan selamat.

Kami semua berasa amat bersyukur atas kejayaan itu. Kemudian, Cikgu Ali meminta kami berwaspada kerana di dalam hutan begini, banyak perkara yang tidak diduga boleh berlaku.
Anda mungkin juga meminati:
LAMAN CIKGU BAHRI
Aku dan rakan-rakan menyertai latihan sukan di sekolah. Semasa latihan tersebut berlangsung aku terdengar jeritan. Aku pun…

Mulakan cerita dengan:
Aku pun…
_____________________________________________

Aku pun segera berlari ke belakang astaka kerana jeritan tersebut datangnya dari situ. Setibanya di belakang astaka, aku terkejut benar apabila mendapati Alia meraung kesakitan sambil memegang kakinya. Wajahnya pula berpeluh dan pucat.

Aku segera menghampirinya untuk bertanya akan puncanya. Dia segera menunjukkan kakinya yang bengkak dan lebam. “Kaki ku terperosok ke dalam lubang ini semasa aku berlari di sini tadi”, rintihnya sambil menunjukkan sebuah lubang kecil di situ.

Aku memintanya bertenang sementara aku pergi meminta bantuan. Kemudian aku terus berlari meminta pertolongan daripada Cikgu Hamidi yang kebetulan sedang berjalan menuju ke astaka tersebut.

Dengan segera, Cikgu Hamidi mendapatkan Alia untuk memberikan pertolongan. “Kaki Alia cuma terseliuh sahaja”, kata cikgu Hamidi setelah memeriksa kaki Alia. Aku bersyukur kerana kecederaan Alia tidaklah begitu teruk.

Kemudian, Cikgu Hamidi meminta aku memanggil beberapa orang pelajar lain untuk mengangkat Alia ke kantin sekolah sementara beliau ke bilik guru untuk mengambil minyak urut.

Di kantin, aku menggosok kaki Alia yang cedera dengan minyak gamat yang diberi oleh Cikgu Hamidi. Sambil tersenyum, Alia segera mengucapkan terima kasih kepada kami sejurus aku selesai menyapukan minyak urut di kakinya.

Sebelum bersurai daripada latihan sukan petang itu, Cikgu Hamidi mengingatkan para pelajar supaya tidak bermain di belakang astaka kerana permukaan tanah di situ masih belum diratakan kerana kerja-kerja pengubahsuaian astaka masih dalam pembinaan .
LAMAN CIKGU BAHRI
Tulis sebuah cerita dan akhiri cerita kamu dengan ayat-ayat di bawah.

.......... aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air mata.


Aku sungguh kecewa dengan keputusan peperiksaan yang aku peroleh baru-baru ini. Begitu juga dengan kedua-dua rakan karibku iaitu Azlan dan Mahir. Kami kecewa dengan keputusan peperiksaan tersebut kerana kurang baik, bahkan merosot daripada sebelumnya.

Setelah berbincang bagi membaiki keadaan tersebut, akhirnya kami membuat keputusan untuk belajar bersama-sama dengan menubuhkan kumpulan belajar.

Kemudian, kami berbincang untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai untuk kami berkumpul. Akhirnya kami bersetuju berkumpul pada setiap petang Ahad di rumah kami secara bergilir-gilir. Kami belajar bermula pada pukul 4 petang hingga pukul 6 petang. Jika ada kelapangan pula, kami akan pergi ke perpustakaan untuk membuat rujukan dan sebagainya.

Aku sangat seronok belajar secara berkumpulan kerana melalui cara ini kami dapat berbincang untuk menyiapkan kerja rumah atau membuat latihan. Kami juga dapat bertukar-tukar nota. Aku berasa lebih bersemangat untuk belajar kerana banyak masalah pelajaran sebelum ini berjaya di atasi setelah kami belajar bersama-sama.

Tibalah masanya keputusan akhir tahun diumumkan. Akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang sungguh cemerlang. Aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air mata.

LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Kamu telah mengikuti lawatan ke suatu tempat yang menarik. Tuliskan satu laporan tentang lawatan tersebut.

*** *** *** *** ***

Pada 24 Ogos 2009, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan lawatan ke Melaka, Bandaraya Bersejarah. Ahli rombongan kami terdiri daripada 40 orang murid dan 5 orang guru pengiring. Kami pergi dengan menaiki sebuah bas yang disewa khas.

Tujuan lawatan ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman murid-murid berkaitan tempat-tempat bersejarah dan menarik di negeri Melaka. Kami diminta berkumpul di dataran sekolah seawal pukul 6.45 pagi untuk mendengar taklimat ringkas yang di sampaikan oleh Cikgu Manap. Selepas itu, kami bertolak ke sana pada pukul 7.00 pagi dan kira-kira tiga jam kemudian, kami berhenti sebentar di Pekan Bahau untuk bersarapan.

Kami tiba di Zoo Melaka pada pukul 12.00 tengah hari. Kami dapat melihat pelbagai jenis hidupan liar di situ seperti harimau, gajah dan lain-lain lagi. Kami berasa amat gembira kerana dapat melihat sendiri gelagat haiwan liar yang sukar ditemui itu.

Selepas itu, kami pergi pula ke Taman Buaya, pelbagai jenis buaya terdapat di sini seperti buaya tembaga, buaya katak dan lain-lain lagi. Kemudian, pada pukul 1.30 petang, kami pergi ke Taman Rekreasi Air Keroh untuk makan tengah hari.

Pada pukul 2.00 petang, kami pergi ke Tugu A Famosa. Kami melihat tinggalan sejarah di Zaman Penjajahan Portugis di Melaka dahulu. Banyak gerai yang menjual pelbagai cenderamata dibuka di sini. Ramai murid dan guru tidak melepaskan peluang untuk membeli cenderamata-cenderamata di situ sebagai tanda kenangan.

Pada pukul 4.00 petang, kami telah diberi peluang masuk dan melihat sendiri Model Kapal Perang Portugis yang pernah menyerang Melaka dahulu. Selain itu juga, kami dapat menaiki Menara Taming Sari yang membolehkan kami melihat serata Bandaraya Melaka. Pelbagai perasaan dapat kami rasai semasa menaiki menara ini seperti cemas, gembira, kagum dan sebagainya.

Pada pukul 5.00 hingga 6.00 petang, kami singgah pula di sebuah pasar raya besar di bandaraya ini. Di pasar raya ini, terdapat pelbagai kedai yang menjual barangan tertentu seperti pakaian, alat-alat elektronik, dan sebagainya.

Selepas itu, kami bertolak balik ke Temerloh. Kami singgah di Masjid Negeri Melaka untuk sembahyang dan makan malam. Kami tiba di sekolah kami pada pukul 12.00 malam. Kami berasa gembira kerana dapat melawat pelbagai tempat yang menarik semasa lawatan tersebut. Kami berharap agar pihak sekolah akan mengadakan lawatan lagi.

Laporan disediakan oleh. 30 Ogos 2009


.........................................
(Hasif Zakwan b. Mohd Hamidi)
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang temasya sukan tahunan yang dijalankan di sekolah kamu. Sediakan laporan itu selengkapnya.

Contoh Rangka Karangan :

Pendahuluan
- temasya sukan kali yang ke-10
- diadakan di padang sekolah

Perenggan ke-2
- sehari sebelum; gotong-royong untuk kerja-kerja persiapan terakhir
- khemah didirikan dan dihias
- papan markah dipasang
- bendera-bendera dikibarkan

Perenggan ke-3
- cuaca pagi temasya sangat baik
- penonton memenuhi ruang tempat duduk
- tuan pegawai daerah tiba dan disambut oleh Guru Besar
- dimulakan dengan perbarisan lintas hormat
- merasmikan temasya

Perenggan ke-4
- acara sukan dilangsungkan
- berjalan lancar dan teratur
- rehat pada pukul 10.00 pagi sebelum disambung semula
- larian 400 meter menjadi acara kemuncak
- acara selesai; penyampaian hadiah dilakukan oleh pegawai pendidikan daerah
-
Penutup
- rumah kuning johan keseluruhan
- temasya tamat
- hadirin menghadiri jamuan di kantin sebelum bersurai
** ** ** ** ** **


Laporan Temasya Sukan Ke-10 Sekolah Kebangsaan Seri Tualang

Pada 14 Mac 2010, Sekolah Kebangsaan Seri Tualang telah mengadakan termasya sukan yang ke-10. Termasya sukan ini diadakan di padang sekolah bermula pada pukul 8.30 pagi.

Sehari sebelum temasya itu dimulakan, kerja-kerja membuat persiapan terakhir telah dilaksanakan. Khemah-khemah didirikan dan dihias dengan cantik. Beberapa orang pekerja sekolah, guru dan murid berganding bahu meyiapkan kerja-kerja tersebut. Papan mencatat markah rumah-rumah sukan diletakkan di tengah-tengah padang. Manakala, bendera rumah sukan, bendera Negeri Pahang dan Jalur Gemilang dikibarkan di bahagian depan astaka.

Keadaan cuaca pada pagi temasya sukan itu sangat baik. Pada pukul 8.00 pagi, semua hadirin termasuk ibu bapa mula memenuhi ruang tempat duduk yang disediakan di sebelah astaka. Tuan Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh yang tiba kira-kira pukul 8.10 pagi disambut oleh Guru Besar sekolah iaitu Encik Awang Satip bin Mat Salleh serta Pengerusi PIBG. Acara dimulakan dengan perbarisan lintas hormat para peserta yang mengambil bahagian. Pegawai Pendidikan Daerah menerima tabik hormat dan seterusnya merasmikan sukan tersebut.

Selepas upacara perasmian dilakukan, acara sukan pun dilangsungkan. Acara-acara yang dijalankan berjalan lancar dan teratur. Acara sukan berhenti untuk rehat pada pukul 10.00 pagi dan disambung semula setengah jam kemudian. Acara lari 4 X 100 meter menjadi acara kemuncak sukan pada hari itu. Kira-kira pukul 11.30 pagi, semua acara tamat. Seterusnya, acara penyampaian hadiah kepada para pemenang pula dijalankan. Hadiah disampaikan oleh Tuan Pegawai Pendidikan Daerah dengan diiringi oleh Tuan Guru Besar.

Pasukan yang menjadi juara pada kejohanan sukan ke-10 ini ialah pasukan Rumah Kuning. Temasya sukan ini tamat kira-kira pada pukul 12.30 tengah hari. Sebelum bersurai, semua hadirin dijemput untuk menikmati jamuan yang disediakan di kantin.


Laporan disediakan oleh, 16 Mac 2010


..............................................................
(Nur Rafhanah Izzah binti Ahmad Zaidee)
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Andaikan bahawa anda setiausaha sesuatu persatuan di sekolah anda. Anda dikehendaki menyediakan laporan tentang lawatan ke sebuah kilang yang telah dijalankan oleh persatuan tersebut. Sediakan laporan itu selengkapnya.
Contoh rangka karangan.

Pendahuluan
- Persatuan Kemahiran Hidup mengada lawatan ke kilang sabun
- jumlah peserta dan guru yang terlibat dalam rombongan
- tujuan lawatan; mendedahkan tentang proses membuat sabun
- menambahkan ilmu pengetahuan
- memupuk semangat keusahawanan

Perenggan ke-2
- bertolak dengan menaiki bas
- tiba di kilang sabun dengan disambut oleh pegawai kilang
- mendengar taklimat

Perenggan ke-3
- dibawa ke bahagian memproses sabun
- proses dijalan dengan mesin berteknologi tinggi
- pekerja kilang memakai pakaian seragam dan sarung tangan khas
- peserta menyoal pekerja kilang dan dilayan mesra

Perenggan ke-4
- dibawa ke bahagian pembungkusan sabun
- pelbagai jenis sabun sedang diproses
- mesin yang canggih
- diberi jamuan ringan
Penutup
- setiap peserta diberi cenderamata sebelum pulang
- cenderamata kepada pihak kilang sebagai tanda penghargaan
- peserta sangat seronok dan mendapat banyak pengetahuan

 
*** *** *** *** *****************************************************************

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Kilang Sabun
Pada 23 Januari 2010, Persatuan Kemahiran Hidup Sekolah Kebangsaan Merapoh telah mengadakan lawatan sambil belajar ke sebuah kilang sabun di Kuala Lumpur. 30 orang ahli persatuan dan 3 orang guru pengiring terlibat dalam rombongan tersebut.

Tujuan lawatan ini adalah untuk mendedahkan para pelajar tentang proses membuat sabun. Justeru, akan menambahkan ilmu pengetahuan serta memupuk semangat keusahawanan para pelajar. Peserta bertolak pada pukul 8.00 pagi dengan menaiki bas yang disewa khas. Mereka sampai ke kilang sabun itu pada pukul 9.30 pagi. Ketibaan mereka disambut oleh beberapa orang pegawai kilang. Kemudian, satu taklimat ringkas tentang kilang tersebut disampaikan oleh salah seorang pegawai kilang tersebut.

Selepas itu para peserta dibawa ke beberapa bahagian memproses sabun. Sebahagian besar kerja memproses sabun ini dilakukan oleh mesin yang berteknologi tinggi. Pekerja-pekerja di kilang tersebut memakai pakaian seragam yang berwarna hijau dan sarung tangan ketika bekerja. Di situ, ramai peserta mengambil kesempatan menyoal beberapa orang pekerja kilang yang sedang bertugas dan mereka dilayan dengan mesra.

Pada pukul 11.00 pagi, para peserta dibawa ke bahagian pembungkusan sabun. Di situ terdapat pelbagai jenama sabun seperti Lux, Protex dan Okchid dibungkus dengan mesin yang canggih. Kemudian Pada pukul 12.30 tengah hari, semua peserta diberi sedikit jamuan ringan di kantin kilang tersebut.

Para peserta bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Mereka diberi sebuku sabun setiap seorang sebagai cenderamata oleh pihak kilang. Guru pengiring iaitu Cikgu Aisyah telah menyampaikan cenderamata kepada pengurus kilang sebagai tanda penghargaan. Para peserta dilihat sangat seronok menyertai rombongan ini kerana mendapat banyak pengetahuan serta dapat melihat sendiri cara-cara membuat sabun.

Laporan disediakan oleh, 25 Januari 2010


..................................................
(Hasif Zakwan bin Mohd Hamidi)
Setiausaha,
Persatuan kemahiran Hidup
LAMAN CIKGU BAHRI
Membaca mempunyai banyak kebaikannya. Ibu bapa haruslah memupuk minat membaca di kalangan anak-anak sejak dari kecil lagi. Apatah lagi pada masa ini bahan bacaan yang sesuai seperti surat khabar, majalah dan sebagainya sangat mudah kita dapati seperti di kedai-kedai berdekatan rumah atau melalui internet.

Antara kebaikan membaca ialah mengetahui perkembangan terkini dan menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya apabila kita membaca surat khabar, kita akan mengetahui berita semasa di dalam dan di luar negara sama ada berita tentang ekonomi, politik, sosial dan lain-lain lagi. Ini tentu akan meningkatkan mutu karangan kita kerana banyak fakta yang kita ketahui.

Selain daripada itu, membaca juga dapat menambahkan perbendaharaan kata. Orang yang selalu membaca akan mampu menulis karangan dengan ayat yang lebih gramatis kerana lebih banyak perkataan yang mereka ketahui atau kuasai.

Di samping itu, orang yang rajin membaca akan memperoleh banyak pengajaran dan pengalaman daripada pembacaan. Ini boleh dijadikan pedoman untuk kebaikan mereka dalam kehidupan sehari-harian.

Membaca juga dapat merehatkan minda kita setelah penat belajar. Ini kerana banyak bahan bacaan ringan yang baik dan menghiburkan kita seperti komik, cerpen dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, kita harus lebih cermat dalam memilih bahan bacaan berunsur hiburan ini kerana ada juga yang tidak sesuai atau tidak elok untuk dibaca.

Kesimpulannya, mengamalkan budaya membaca amatlah penting terutama kepada para pelajar. Selain dapat mengisi masa lapang, aktiviti ini juga dapat mengelakkan mereka terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat. Oleh itu, kita haruslah amalkan sikap suka membaca supaya kita cemerlang dalam pelajaran dan menjadi kebanggaan guru-guru dan ibu bapa.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Rakyat Malaysia digalakkan makan lebih banyak buah-buahan tempatan. Tuliskan tentang kebaikan buah-buahan tempatan.
** * *** *** *** ***

Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang terdapat di negara kita Malaysia. Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, rambutan, langsat dan lain-lain lagi.

Rakyat Malaysia digalakkan mengambil buah-buahan tempatan kerana buah-buahan tempatan masih segar. Oleh itu, buah-buahan ini tentu lebih berkhasiat kerana kandungan berbagai-bagai jenis zat dan vitaminnya masih terpelihara dan ini tentunya lebih baik untuk kesihatan kita.

Buah-buahan tempatan juga mudah didapati terutama pada musim buah-buahan. Pokok buah-buahan ini seperti pisang dan betik boleh kita tanam sendiri di sekeliling rumah, apatah lagi sekiranya kita tinggal di kampung. Ini akan akan memudah kita mendapatkan buah-buahan ini tanpa perlu pergi ke kedai dan sebagainya.

Buah-buahan tempatan juga dapat membantu meningkatkan ekonomi negara. Apabila kita lebih gemar memilih buah-buahan tempatan, ini akan meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan. Secara tidak langsung kita telah membantu negara dalam menyediakan peluang pekerjaan dan meningkat ekonomi negara.

Kesimpulannya, kita digalakkan makan buah-buahan tempatan kerana banyak kebaikannya. Tambahan pula buah-buahan tempatan didapati lebih murah daripada buah-buahan import. Oleh sebab itu, rakyat Malaysia dapat menikmati buah-buahan ini tanpa mengira kaya atau miskin.
LAMAN CIKGU BAHRI
Murid-murid digalakkan pergi ke perpustakaan. Berikan pandapat kamu tentang faedah-faedah yang diperolehi jika seseorang itu memanfaatkan perpustakaan.
** ** ** ** **

Perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Di perpustakaan terdapat banyak buku-buku yang boleh dibaca seperti seperti buku cerita, novel, majalah, buku rencana dan lain-lain lagi. Dengan membaca, pengetahuan murid-murid semakin bertambah dan ini tentu membantu murid-murid dalam pelajaran.

Murid-murid dapat mengisi masa lapang dengan memanfaatkan perpustakaan. Mereka yang selalu ke perpustakaan akan terhindar daripada gejala yang tidak sihat seperti melepak, merokok dan lain-lain lagi. Dengan itu, murid-murid akan berjaya dalam pelajaran dan masa depan mereka akan lebih cerah. Sebaliknya, gejala yang tidak sihat akan mengelapkan masa depan mereka.

Selain itu, perpustakaan adalah tempat membentuk disiplin diri. Perpustakaan mempunyai peraturan-peraturan yang mesti dipatuhi seperti larangan membuat bising, memulangkan buku mengikut tarikh, menyusun semula buku di raknya dan seumpamanya lagi. Justeru, murid-murid dapat berlatih mendisplinkan diri di perpustakaan dan ini diharap akan menjadi amalan dalam kehidupan mereka.

Perpustakaan juga dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid. Murid-murid tidak perlu membeli semua buku kerana sesetengah buku boleh dipinjam di perpustakaan. Ini tentu dapat menjimatkan wang ibu bapa murid-murid.

Kesimpulannya, perpustakaan mempunyai banyak faedahnya. Oleh itu, menfaatkanlah perpustakaan yang disediakan demi kemajuan kita dalam pelajaran. Tambahan pula, murid-murid juga dapat menghilangkan rasa bosan setelah penat belajar dengan membaca buku-buku tertentu di perpustakaan.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Ceritakan tentang kebaikan-kebaikan menyimpan wang di bank. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

* * * * *
Rangka Karangan :

Pendahuluan
-digalakkan simpan wang di bank kerana banyak kebaikannya
-buka akaun bank sebelum boleh menyimpan wang
-banyak pilihan bank

Perenggan ke-2
-simpanan dijamin selamat
-kehilangan atau kecurian, tanggungjawab bank
-bencana alam, tangungjawab bank

Perenggan ke-3
-menjamin masa hadapan
-contoh; membiayai pengajian
-perlu menyimpan secara tetap

Perenggan ke-4
-cermat berbelanja
-pandai menguruskan wang sendiri
-lepas daripada masalah kewangan

Penutup
-amalan menyimpan wang perlu diamalkan
-kehidupan akan lebih terjamin


** ** ** ** **

Kebaikan-kebaikan Menyimpan Wang di Bank
Kita amat digalakkan untuk menyimpan wang di bank kerana banyak kebaikannya. Bagi membolehkan kita menyimpan wang di bank, kita perlulah membuka akaun bank di mana-mana bank seperti Bank Simpanan Nasional, MayBank, Tabung Haji dan lain-lain bagi.

Antara kebaikan menyimpan wang di bank ialah simpanan kita dijamin selamat. Kita tidak perlu risau tentang keselamatan wang simpanan kita daripada kecurian dan kehilangan kerana semua itu akan ditanggung oleh pihak bank. Begitu juga jika sekiranya berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir, wang kita dijamin selamat di bawah tanggungjawab pihak bank.

Menyimpan wang di bank juga boleh menjamin masa depan kita. Contohnya, kita boleh membiayai perbelanjaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti daripada wang simpanan tersebut. Oleh itu, kita mestilah menyimpan wang secara tetap supaya boleh digunakan pada masa yang memerlukan.

Selain itu, kita dapat berjimat-cermat apabila menyimpan wang di bank. Kita tidak akan boros berbelanja kerana sebahagian wang akan disimpan di bank. Ini akan melatih kita menjadi seorang yang pandai menguruskan wang perbelanjaan. Amalan perbelanjaan yang baik akan mengelakkan seseorang itu terjebak dalam masalah hutang dan sebagainya.

Kesimpulannya, amalan menyimpan wang di bank haruskan kita amalkan kerana cara ini amat banyak kebaikannya. Oleh itu, tanamkan sikap untuk menyimpan wang di bank demi kehidupan yang lebih terjamin.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN:
Setiap orang mempunyai hobi. Tulis kebaikan hobi yang kamu gemari.
_________________________________________________________________________
 
Hobi ialah sesuatu yang gemar dilakukan pada masa lapang. Antara contoh-contoh hobi ialah memancing, mengumpul setem, membaca, melukis dan bersukan. Saya juga mempunyai hobi iaitu bermain bola sepak. Saya melakukan aktiviti ini pada setiap petang kecuali jika ada urusan lain yang lebih penting.
 
     Saya memilih bermain bola sepak sebagai hobi kerana minat saya yang mendalam terhadap permainan ini. Oleh sebab itulah saya selalu menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung di kaca televisyen. Selain itu, saya juga pernah pergi ke studium Bukit Jalil dengan keluarga saya untuk menonton suatu perlawanan akhir bola sepak .
     Hobi ini banyak memberi kebaikan kepada saya. Antara kebaikan tersebut ialah mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah, menyihatkan badan, menjadikan saya cergas serta cerdas dan menambahkan kenalan. Pada waktu lapang seperti pada waktu petang, saya dapat mengisi masa lapang ini dengan bermain bola sepak. Aktiviti ini mengelakkan saya daripada terjebak dalam kegiatan yang merugikan seperti melepak dan sebagainya.
 
     Selain itu, hobi ini juga dapat menyihatkan tubuh saya kerana permainan ini menyebabkan badan saya berpeluh, jantung saya berfungsi dengan baik dan melangsingkan badan saya. Oleh sebab itulah saya jarang terkena penyakit seperti demam dan sebagainya. Saya juga tidak risau tentang masalah kegemukan yang boleh mendatangkan penyakit yang merbahaya seperti darah tinggi, kecing manis dan lain-lain lagi.
 
     Permainan bola sepak juga menyebabkan badan saya cergas dan otak saya cerdas. Saya perlu melakukan tindakan-tindakan yang tangkas serta lasak dalam permainan ini. Hasilnya otot-otot badan saya menjadi kuat dan pergerakan saya lebih pantas. Selain itu, saya juga tidak mudah berasa lesu atau penat. Ini membantu saya sentiasa cergas semasa belajar di sekolah atau semasa mengulang kaji pelajaran di rumah. Badan saya yang sihat dan bertenaga juga membolehkan saya mudah memahami sesuatu pelajaran. Oleh sebab itu, saya sering mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

     Di samping itu, saya memperoleh ramai kenalan melalui hobi ini. Permainan bola sepak memerlukan pemain yang ramai. Oleh itu, saya berpeluang menambahkan kenalan terutama apabila melibatkan pertandingan dengan pasukan bola sepak dari luar.
 
     Kesimpulannya setiap orang mempunyai hobi tersendiri. Kita bebas memilih hobi yang kita gemari, bak kata pepatah "Tepuk dada, tanya selera". Namun, perlu kita ingat hobi tersebut tidak seharusnya merugikan kita. Sesuatu hobi yang baik dan sesuai sepatutnya akan mendatangkan kebaikan kepada kita.

LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Ibu bapa merupakan orang yang banyak berjasa kepada kita. Tulis karangan cara-cara kamu menggembirakan ibu bapa.
_________________________________________________________________________________


Ibu bapa merupakan insan terpenting dalam sesebuah keluarga. Tanpa mereka, kita tidak akan lahir ke dunia ini. Merekalah yang memberikan kita kasih sayang yang sejati hingga sanggup berkorban harta dan nyawa demi kebahagiaan kita. Oleh sebab itu, wajarlah kita sentiasa berusaha untuk menggembirakan hati mereka.

Semua ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka berakhlak mulia. Akhlak mulia akan menyebabkan seseorang itu mentaati perintah agama, menghormati orang lain, bertanggunjawab, berdisplin dan sebagainya. Anak-anak yang berakhlak mulia juga akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan keluarga. Hal yang demikian, sudah tentu akan menggembirakan hati ibu bapa.

Ibu bapa juga tentu gembira apabila mendapati anak-anak mereka belajar bersungguh-sungguh. Anak-anak yang rajin belajar kebiasaannya akan mendapat keputusan yang cemerlang dalam pelajaran. Oleh itu, kita mestilah rajin belajar agar ibu bapa kita gembira serta memperoleh masa depan yang lebih cerah.

Di samping itu, kita juga haruslah membantu mereka. Kita boleh membantu mereka dengan melakukan kerja-kerja yang sesuai seperti mendidik adik, mengemas rumah dan sebagainya. Dengan itu, kita dapat meringankan beban mereka dan ini tentu menggembirakan hati mereka.

Selain itu, Ibu bapa juga tentu gembira jika anak-anak menghormati mereka. Bercakap dengan sopan, bersalaman dan mencium tangan, mendengar teguran dan nasihat, mengucapkan salam dan senyum semasa berhadapan dengan mereka antara contoh kita menghormati ibu bapa. Amalkan sikap ini agar ibu bapa kita sentiasa gembira bersama anak-anak.

Kesimpulannya, sebagai seorang anak sudah pasti kita ingin melihat ibu bapa kita sentiasa gembira. Justeru, sentiasalah berazam dan berusaha untuk menggembirakan hati kedua-dua ibu bapa agar hidup kita lebih diberkati.
LAMAN CIKGU BAHRI
Penggunaan komputer amat penting pada masa kini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Justeru, ramai orang ingin memiliki komputer untuk kegunaan mereka semasa di rumah atau di mana-mana sahaja.

Komputer membolehkan kita belajar seperti belajar secara dalam talian. Komputer juga memudahkan pelajar mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh diakses daripada komputer yang dilengkapi sambungan internet. Komputer juga akan memudahkan pelajar menyiapkan tugasan mereka.

     Kita boleh berhibur dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Melalui komputer kita boleh menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan sebagainya lagi. Dengan itu, kita akan lebih mudah untuk menenangkan fikiran setelah penat belajar atau bekerja.

     Komputer juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk berkomunikasi seperti email, forum, `facebook` dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung ini akan mengeratkan persahabatan dan persaudaraan antara kita.

     Kebanyakan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila menggunakan komputer . Misalnya, untuk menaip, menyimpan data atau maklumat dan mengira. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan pejabat seperti di bank akan dilengkapi dengan berpuluh-puluh komputer.

     Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada manusia. Walau bagaimanpun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer kerana ia juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.
Anda mungkin juga meminati:
LAMAN CIKGU BAHRI
Demam denggi ialah sejenis penyakit bawaan nyamuk yang sangat berbahaya. Demam denggi dibawa oleh nyamuk Aedes kepada manusia melalui gigitannya. Peyakit ini sudah menjadi masalah utama di negara kita kerana kematian akibat nyamuk Aedes di negara ini terus meningkat dari tahun ke tahun.

     Kita perlulah bekerjasama untuk membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Antara cara untuk membasmi nyamuk Aedes ialah memastikan tiada takungan air yang dibiarkan yang boleh membiakkan nyamuk. Tempat-tempat tersebut seperti di dalam tempayan, pasu-pasu bunga, dan kolam mandi. Pastikan nyamuk tidak membiak di dalam tempat-tempat ini dengan menyalinkan airnya pada setiap minggu dan dibasuh sehingga bersih untuk memusnahkan telur nyamuk.

     Selain itu, tutup semua bekas menyimpan air dengan rapat untuk mencegah nyamuk daripada bertelur. Bekas yang tidak digunakan pula hendaklah dikumpulkan dan dibuang ke dalam tong sampah atau ditanam.

     Saluran bumbung juga boleh menakungkan air yang akan menjadi tempat pembiakan nyamuk. Oleh itu, periksa saluran bumbung rumah seminggu sekali untuk membersihkan daun yang menyekat air daripada mengalir.

     Di samping itu, jika menggunakan takungan air untuk memerangkap semut daripada naik ke meja atau almari, air takungan itu perlulah dimasukkan garam sebanyak 2 sudu teh untuk mencegah pembiakan nyamuk.

    Ikan peliharan juga boleh membantu membasmi nyamuk Aedes kerana ikan seperti ikan gapi dan puyu akan memakan jentik-jentik. Oleh itu, peliharalah ikan-ikan ini dalam tangki-tangki besar bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes ini. Jika tidak, masukkan ubat pembunuh jentik-jentik dengan mengikut sukatan yang betul ke dalam semua bekas menyimpan air, tiga bulan sekali.

     Kesimpulannya, kita mestilah bekerjasama bagi membasmi pembiakan nyamuk Aedes. Justeru, setiap orang mestilah prihatin akan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk. Ambillah tindakan yang sewajarnya jika mendapati tempat tersebut boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Gambarkan keadaan di padang sekolah kamu apabila diadakan sesuatu perlawanan. Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.
** ** ** ** ** **
Rangka Karangan :
 
Pendahuluan
-padang yang luas di sekolah saya
-setiap hari digunakan dengan pelbagai aktiviti
-pada suatu hari, suasananya berubah kerana suatu pertandingan
 
Perenggan ke-2
-para penonton berkumpul ditepi padang
-mereka kelihatan amat teruja/berminat
-ada yang makan ais krim di tepi padang
 
Perenggan ke-3
-orang ramai bertepuk tangan sebaik pasukan yang bertanding masuk ke padang
-setiap pasukan dilihat sungguh bersemangat
-berharap pasukan sekolah saya menang
 
Perenggan ke-4
-perlawanan yang hebat
-setiap pasukan bermain bersungguh-sungguh
-riuh dengan tepukan penonton di sekeliling padang
-antara pasukan yang hebat pada tahun sebelumnya
 
Penutup
-permainan tamat
-bersalaman antara pasukan
-bersyukur kerana pasukannya menang
-berazam untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pada tahun hadapan

** ** ** ** ** **

Sekolah saya mempunyai sebuah padang yang luas. Setiap hari, padang ini digunakan untuk aktiviti Pelajaran Pendidikan Jasmani pada waktu pagi atau kegiatan ko-kurikulum pada waktu petang. Suasana padang itu berubah apabila sekolah saya mengadakan perlawanan bola sepak persahabatan dengan Sekolah Kebangsaan Jalan Bahagia pada petang 14 Julai 2009 yang lalu.

     Sebelum pertandingan bermula, murid-murid dan sebahagian daripada penduduk kampung mula berkumpul di sekeliling padang sekolah. Mereka masing-masing kelihatan amat teruja untuk menyaksikan perlawanan bola sepak tersebut. Ada juga murid-murid dan beberapa orang penduduk kampung yang mengunyah makanan dan menikmati aiskrim sementara menunggu pasukan bola sepak masuk ke padang. Di penjuru padang kelihatan seorang penjual aiskrim bermotosikal sedang sibuk melayan kanak-kanak yang ingin membeli aiskrimnya.

     Orang ramai bangun dan bertepuk tangan sebaik sahaja terlihat kelibat kedua-dua pasukan bola sepak masuk ke padang. Setiap pasukan kelihatan sungguh bersemangat untuk memenangi perlawanan itu. Saya juga berasa amat gementar dan berharap pasukan bola sepak sekolah saya akan memenangi perlawanan tersebut.

     Semasa perlawanan, para pemain bermain dengan bersugguh-sungguh. Tepukan dan sorakan kedengaran di sekeliling padang. Para pemain menunjukkan aksi yang sungguh hebat kerana kedua-dua pasukan bola sepak ini adalah juara dan naik juara bagi pertandingan bola sepak sekolah rendah daerah Temerloh pada tahun lepas.

     Perlawanan ini berakhir apabila pengadil meniupkan wisel penamat. Saya bersyukur kerana perlawanan ini telah dimenangi oleh pasukan bola sepak sekolah saya. Para pemain bersalam-salaman dengan pasukan lawan dan para pengadil sebelum keluar padang. Saya berharap pada tahun hadapan, saya pula akan mewakili sekolah dalam pertandingan seperti ini.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Pada cuti sekolah yang lalu kamu telah pulang ke kampung. Tidak lama kemudian kampung kamu dilanda banjir. Ceritakan pengalaman kamu itu.
_______________________________________________________________________

Pada cuti sekolah yang lalu, saya pulang ke kampung kelahiran saya di Kampung Merapoh Kuala Lipis, Pahang. Sejak tiba di kampung, hujan lebat turun tidak berhenti-henti menyebabkan kami sekeluarga berasa bimbang. Oleh sebab itu, keluarga saya mula mengemaskan barang-barang yang penting dan berharga sebagai persediaan jika terpaksa berpindah.

     Akhirnya, kami terpaksa dipindahkan oleh pasukan penyelamat dengan menggunakan sampan dan bot. Kami bersyukur kerana semua penduduk kampung berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan dengan selamat. Walau bagaimanapun saya berasa agak sedih setelah melihat seluruh kampung kami telah hampir ditenggelami air. Kami hanya mampu berdoa agar air bah akan surut dengan segera dan keadaan kembali pulih seperti biasa.

     Semasa berada di pusat pemindahan, kami dibekalkan dengan pelbagai barang keperluan oleh pihak kerajaan seperti makanan, air, ubat-ubatan dan pakaian. Kaum wanita pula bergotong-royong untuk menyediakan makanan. Saya berasa kurang selesa dan bosan berada di situ kerana terpaksa tidur di tempat yang terbuka, berkongsi bilik air dan sebagainya. Mujurlah saya dapat bermain dengan beberapa orang kawan sebaya.

     Seminggu kemudian, banjir di kampung kami kembali pulih. Sekembali ke kampung, kami berasa sungguh sedih apabila melihat keadaan rumah yang begitu kotor dengan sampah dan lumpur. Banyak harta benda seperti kereta, binatang ternakan dan tanam-tanaman yang musnah.

     Banjir yang dahsyat ini meninggalkan kenangan pahit buat semua penduduk kampung. Kami berdoa agar kejadian sebegini tidak akan berlaku lagi.
LAMAN CIKGU BAHRI
Pada suatu petang, aku dan dan jiranku Amin bermain layang-layang di tengah padang di hadapan rumahku. Aku ingin mencuba layang-layang yang baru dibeli oleh ayah semalam. Kebetulan pula masa itu cuaca cerah dengan angin bertiup kencang tentu amat sesuai untuk bermain layang-layang.

     Sedang kami leka berusaha menaikkan layang-layang tersebut, tiba-tiba kedengaran satu jeritan di jalan raya. Aku menoleh dan mendapati seorang nenek jatuh terjelepok di tepi jalan. Manakala, sebuah motosikal pula memecut laju meninggalkannya.

     Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkan nenek tersebut. Setibanya di situ, kami segera membantunya bangun tetapi dihalang olehnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan raya. Kasihan sungguh melihatnya, apatah lagi apabila medengar dia mengerang kesakitan.

     Aku meminta Amin mengutip barang-barang nenek yang bertaburan sementara aku pulang ke rumah untuk memberitahu keluargaku tentang kejadian tersebut. Setelah melihat keadaan nenek itu, ayahku segera menelefon ambulan bagi membawanya ke hospital.

     Kira-kira 20 minit selepas itu, ambulan pun tiba. Sebelum bertolak ke hospital, nenek itu sempat mengucapkan terima kasih kepada kami semua.

     Selepas itu, aku bermain layang-layang semula dengan perasaan bangga kerana dapat menolong nenek itu. Walau bagaimanapun, terdetik juga kesedihan di hatiku daripada peristiwa ini. Janganlah bertindak zalim serta bertanggungjawablah atas kesalahan yang kita lakukan.
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN:
Baru-baru ini, keluarga kamu berkelah di satu tempat menarik. Tulis satu catatan tentang perkelahan itu.

Sabtu, 22 Februari 2014


7.00 pagi -Semua ahli keluarga bergotong-royong mengangkat barang-barang dan bekalan ke dalam kereta.


8.30 pagi -Kami seramai 6 orang bertolak ke Pantai Balok, Kuantan dengan menaiki kereta Exora ayah. Ayah memandu kereta dengan tenang menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur. Sepanjang perjalanan, kami dapat menikmati pemandangan yang indah sambil berbual-bual dengan ahli keluarga.


10.30 pagi -Kami selamat tiba di Pantai Balok. Tanpa berlengah, kami mengangkat barang-barang dan bekalan dari dalam kereta untuk dibawa ke tempat yang strategik. Kemudian, kami bergotong-royong mengemas tempat perkelahan tersebut dengan memasang khemah, membentang tikar dan menyiapkan hidangan sarapan pagi. Selepas itu, kami menikmati sarapan pagi daripada bekalan yang dibawa sambil menikmati suasana tepi pantai yang menyegarkan.


11.30 tengah hari -Kami menukar pakaian dengan pakaian mandi. Syukur kerana cuaca pada hari ini cerah dan selamat untuk kami bermandi-manda di pantai itu. Saya sungguh seronok mandi di situ kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga seperti berenang dan sebagainya. Walau bagaimanpun saya tidak lupa pesanan daripada ayah dan ibu agar kami sentiasa berwaspada semasa mandi di pantai tersebut.


01.00 petang -Kami pergi ke bilik persalinan untuk membersihkan diri dan menyalin pakaian. Kami dikenakan bayaran 30sen seorang untuk menggunakan kemudahan di bilik tersebut. Selepas itu kami menuju ke tempat perkelahan kami untuk menikmati makan tengah hari. Saya sangat seronok makan tengah hari di sini kerana suasananya berbeza dari kebiasaan. Kami makan di bawah sebatang pokok yang rendang dengan pemandangan yang menarik serta tiupan angin yang lembut dan menyegarkan.


2.30 petang -Selepas mengemas barang-barang, kami menuju ke surau di situ untuk menunaikan solat Zohor. Ayah saya mengajar kami bagaimana melakukan solat jamak dan qasar iaitu solat Zohor digabungkan dengan solat Asar. Saya sangat seronok mendapat ilmu dan pengalaman baru sambil solat berjemaah bersama keluarga.


3.30 petang -Setelah barang-barang disimpan di dalam kereta, kami berangkat pulang ke Temerloh semula. Semasa dalam perjalanan, ayah singgah sebentar di sebuah gerai di Gambang. Ayah membeli beberapa jenis keropok dan makanan ringan untuk dibawa pulang.


4.30 petang -Kami berhenti di RNR Temerloh untuk minum petang.


5.30 petang -Kami tiba di rumah. Kami mengangkat barang-barang perkelahan ke rumah untuk dibersihkan dan disimpan semula. Penat rasanya tetapi kami amat gembira kerana dapat berkelah dengan ahli keluarga pada cuti sekolah kali ini.  
LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN :
Baru-baru ini, keluarga kamu bercuti di satu tempat menarik. Tulis satu catatan tentang percutian itu.

Sabtu, 2 Februari 2014
6.00 pagi -Kami bersiap-siap untuk pergi bercuti ke Melaka. Selepas solat Subuh, kami bergotong-royong mengangkat barang-barang ke dalam kereta. Kami akan menginap di sebuah 'homestay' yang saya cadangkan kepada keluarga setelah saya membaca iklannya di internet.

7.00 pagi -Mula bertolak dari rumah kami di Temerloh ke Melaka dengan menaiki kereta Exora ayah. Ayah memandu dengan tenang menuju ke lebuh Raya Pantai Timur. Kami menikmati keindahan alam sepanjang perjalanan tersebut sambil berbual-bual bersama keluarga.

8.30 pagi -Singgah di Genting Sempah untuk bersarapan pagi. Cuaca di sini cerah tetapi masih kelihatan kabus berada di lereng-lereng bukit. Gembira rasanya bersarapan di sini dengan udaranya yang agak sejuk, segar dan nyaman.

9.15 pagi -Meneruskan perjalanan ke Melaka dengan melalui Kota Raya Kuala Lumpur. Seronok melihat bangunan tinggi mencakar langit dan jalan raya yang bersimpang-siur.

11.30 pagi -Singgah di RnR Seremban untuk makan tengah hari. Keadaan lebih sibuk di sini kerana ramai yang berhenti rehat dan sebagainya. Kami terpaksa beratur panjang untuk membeli makanan.

01.00 petang -Tiba di Rumah Rehat Hasidi tempat penginapan kami. Rumah rehat ini bersih, kemas dan selesa untuk keluarga kami yang seramai 7 orang bercuti. Antara kemudahan yang disediakan di rumah rehat ini ialah televisyen dengan siaran astro, 3 buah bilik berpendingin hawa, peti sejuk, meja makan, seterika dan lain-lain lagi. Saya gembira dapat menginap di rumah rehat ini.

3.30 petang -Setelah berehat dan solat Zohor, ayah mengajak kami ke 'Melaka Cruise River' di Bandar Raya Melaka. Saya sungguh teruja dan gembira kerana pertama kali menaiki 'Cruise River' yang menyusuri Sungai Melaka yang bersejarah.

5.00 petang -Ayah memandu kereta ke Bandar Hilir Melaka. Saya sungguh tertarik melihat reka bentuk bangunan lama di bandar itu. Kemudian, kami singgah sebentar di Tugu A-famosa untuk melihat peninggalan sejarah. Kami mengambil beberapa keping gambar di situ sebagai kenang-kenangan.

7.00 malam -Kami singgah di sebuah restoran untuk makan malam. Ayah memesan beberapa jenis makanan yang lazat untuk kami sekeluarga pada malam itu.

8.00 malam -Kami balik semula ke Rumah Rehat Hasidi untuk berehat. Setelah mandi dan solat, kami berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen dan berbual-bual.

10.00 malam -Masuk ke bilik masing-masing untuk tidur kerana keletihan. Udara yang sejuk dan segar daripada pendingin hawa serta tilam yang empuk di bilik tersebut menyebabkan saya tidur dengan lena hingga ke pagi.

Ahad, 3 Februari 2014
6.00 pagi -Bangun tidur, solat Subuh dan menyiapkan diri. Ibu telah menyediakan hidangan sarapan pagi yang dimasaknya sendiri di rumah rehat tersebut. Kelengkapan dapur yang agak sempurna di rumah rehat ini membolehkan ibu memasak sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan.

9.00 pagi -Menuju ke 'Afamosa Resort' untuk mandi-manda. Saya berasa tidak sabar untuk mandi-manda bersama keluarga di sana. Setibanya di situ, saya berasa sungguh kagum melihat kolam renangnya yang dilengkapi dengan pelbagai gelunsur air yang pelbagai rupa. Tanpa berlengah, kami terus mandi sambil mencuba beberapa gelunsur air di kolam renang tersebut.

1.00 petang -Kami makan tengah hari di sebuah restoran di bandar Tampin, Negeri Sembilan. Saya sungguh berselera makan nasi berlaukkan gulai lemak ikan sembilan di restoran tersebut.

2.00 petang -Bertolak dari bandar Tampin untuk balik ke Temerloh melalui jalan raya biasa. Sepanjang perjalanan, kami melalui beberapa buah kampung, hutan, ladang kelapa sawit dan ladang getah. Saya tertidur dalam perjalanan tersebut kerana keletihan.

4.30 petang -Solat di Masjid Bandar Kerayong sebelum minum petang di sebuah restoran di bandar tersebut.

6.00 petang -Tiba di rumah di Temerloh. Bergotong-royong mengangkat dan mengemas barang-barang sebelum mandi. Percutian kali ini sangat menyeronokkan kerana saya telah berpeluang melancong ke beberapa tempat yang belum pernah saya kunjungi bersama keluarga tersayang.