LAMAN CIKGU BAHRI
SOALAN:
Baru-baru ini, keluarga kamu berkelah di satu tempat menarik. Tulis satu catatan tentang perkelahan itu.

Sabtu, 22 Februari 2014


7.00 pagi -Semua ahli keluarga bergotong-royong mengangkat barang-barang dan bekalan ke dalam kereta.


8.30 pagi -Kami seramai 6 orang bertolak ke Pantai Balok, Kuantan dengan menaiki kereta Exora ayah. Ayah memandu kereta dengan tenang menuju ke Lebuh Raya Pantai Timur. Sepanjang perjalanan, kami dapat menikmati pemandangan yang indah sambil berbual-bual dengan ahli keluarga.


10.30 pagi -Kami selamat tiba di Pantai Balok. Tanpa berlengah, kami mengangkat barang-barang dan bekalan dari dalam kereta untuk dibawa ke tempat yang strategik. Kemudian, kami bergotong-royong mengemas tempat perkelahan tersebut dengan memasang khemah, membentang tikar dan menyiapkan hidangan sarapan pagi. Selepas itu, kami menikmati sarapan pagi daripada bekalan yang dibawa sambil menikmati suasana tepi pantai yang menyegarkan.


11.30 tengah hari -Kami menukar pakaian dengan pakaian mandi. Syukur kerana cuaca pada hari ini cerah dan selamat untuk kami bermandi-manda di pantai itu. Saya sungguh seronok mandi di situ kerana dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama keluarga seperti berenang dan sebagainya. Walau bagaimanpun saya tidak lupa pesanan daripada ayah dan ibu agar kami sentiasa berwaspada semasa mandi di pantai tersebut.


01.00 petang -Kami pergi ke bilik persalinan untuk membersihkan diri dan menyalin pakaian. Kami dikenakan bayaran 30sen seorang untuk menggunakan kemudahan di bilik tersebut. Selepas itu kami menuju ke tempat perkelahan kami untuk menikmati makan tengah hari. Saya sangat seronok makan tengah hari di sini kerana suasananya berbeza dari kebiasaan. Kami makan di bawah sebatang pokok yang rendang dengan pemandangan yang menarik serta tiupan angin yang lembut dan menyegarkan.


2.30 petang -Selepas mengemas barang-barang, kami menuju ke surau di situ untuk menunaikan solat Zohor. Ayah saya mengajar kami bagaimana melakukan solat jamak dan qasar iaitu solat Zohor digabungkan dengan solat Asar. Saya sangat seronok mendapat ilmu dan pengalaman baru sambil solat berjemaah bersama keluarga.


3.30 petang -Setelah barang-barang disimpan di dalam kereta, kami berangkat pulang ke Temerloh semula. Semasa dalam perjalanan, ayah singgah sebentar di sebuah gerai di Gambang. Ayah membeli beberapa jenis keropok dan makanan ringan untuk dibawa pulang.


4.30 petang -Kami berhenti di RNR Temerloh untuk minum petang.


5.30 petang -Kami tiba di rumah. Kami mengangkat barang-barang perkelahan ke rumah untuk dibersihkan dan disimpan semula. Penat rasanya tetapi kami amat gembira kerana dapat berkelah dengan ahli keluarga pada cuti sekolah kali ini.  
1 Response

Post a Comment