1.1 Teknik
Bercerita
Teknik
Bercerita bermaksud menggunakan cerita untuk mengajar sesuatu kepada murid.
Teknik ini pernah digunakan oleh orang-orang kita sewaktu
menyampaikan sesuatu pengajaran kepada anak-anak mereka. Biasanya murid-murid
akan lebih cepat menumpukan perhatian di samping menjadikan pembelajaran itu
berlaku dalam keadaan yang menyeronokkan.
Proses
pendidikan memerlukan lebih banyak cara penyampaian mengikut kesesuaian subjek
pelajaran. Dalam pengajaran bahasa, komitmen guru secara lebih kreatif sangat
dituntut dalam berkomunikasi. Salah satu komunikasi ialah melalui teknik
bercerita. Bercerita merupakan salah satu sumber pendidikan yang amat rapat
dengan dunia kanak-kanak. Bercerita semacam satu budaya yang sangat hidup dalam
masyarakat. Pendidikan awal tidak formal kanak-kanak banyak diperolehi melalui
komunikasi bercerita. Melaluinya informasi diperolehi begitu cepat kerana dalam
proses bercerita komunikasi lebih satu hala wujud.
Pencerita bercerita, yang mendengar akan menyoal dan bertanya pada waktu tertentu.
Inilah sebenarnya yang diperlukan dalam dunia pendidikan. Pendidikan itu hidup
dalam suasana harmoni dan komunikasi tidak tertekan.
Dalam pendidikan secara formal, teknik bercerita itu mempunyai banyak tujuan yang telah digariskan oleh beberapa tokoh pendidikan. Ee Ah Meng (1993: 143) menggariskan 12 tujuan bercerita dan Mook Soon Sang (1993: 107) menggariskan lapan tujuan. Dengan merumuskan secara singkat, antara tujuannya ialah
a. Ia memotivasikan murid-murid untuk minat belajar dalam suasana yang menggembirakan.
b. Pembelajaran yang berlaku melalui cerita adalah lebih kekal dan diingati lebih lama. Oleh itu, nilai-nilai murni boleh diterapkan ke dalam cerita-cerita tersebut.
c. Setengah-setengah cerita dapat melibatkan murid-murid secara aktif. Dengan itu, bercerita boleh menjadi suatu strategi pengajaran yang memusatkan kepada murid-murid.
d.
Cerita yang bertema moral dapat membantu murid-murid menghayati nilai- nilai
murni. Ini adalah kerana murid-murid belajar melalui peniruan watak- watak
baik yang ditonjolkan dalam cerita.
e. Cerita
dapat mengurangkan masalah disiplin secara tidak langsung. Ini adalah kerana murid-murid yang
tertarik kepada cerita ingin mendengar dengan
teliti dan dengan itu tidak mungkin akan menimbulkan masalah disiplin;
f. Ia dapat memperluaskan pengalaman murid jika cerita itu dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian.
f. Ia dapat memperluaskan pengalaman murid jika cerita itu dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian.
g. Ia meningkatkan lagi kemahiran mendengar murid dan daya kreativiti murid-murid.
h. Melatih murid menyusun idea secara teratur sama ada secara lisan atau tulisan bagi aktiviti selanjutnya. Secara tidak langsung, merek boleh menambahkan bahan-bahan untuk menulis karangan.
Ada beberapa aspek yang perlu diambil kira bagi menentukan keberkesanan cerita. Suara amat penting. Suara itu sebenarnya aset yang sangat dituntut dalam dunia pendidikan. Suara bukan sahaja memainkan peranan yang amat penting yang menentukan keberkesanan sesuatu cerita, malah sangat penting untuk semua aspek penyampaian pengajaran yang lain. Dalam bercerita, suara itu mempunyai disiplin. Intonasi suara perlulah jelas dan lantang supaya dapat didengar oleh semua pendengar. Nada suara tidak terlalu mendatar. Pencerita perlu menunjukkan emosi melalui nada suara yang sesuai seperti sedih, cemas, marah dan gembira. Variasi suara dan kecekapan bercerita perlulah sesuai dengan situasi episod cerita. Sebutan mestilah jelas.
Di
samping suara, bahasa juga satu keperluan yang mesti diambil kira. Melalui
bahasalah pengajaran bercerita itu dapat disalurkan. Oleh itu penggunaan bahasa
perlu sesuai dengan tahap kebolehan pendengar. Sebelum istilah-istilah baru
diperkenalkan, kanak-kanak perlu telah faham asas-asas bahasa yang boleh
dijadikan titik tolak semasa bercerita. Pergerakan bahasa mestilah bergerak
dari yang konkrit kepada yang abstrak. Apa yang penting cerita itu dapat
difahami dengan jelas dan memberi kesan kepada murid-murid.
Aspek lain yang dapat menambah keberkesanan cerita itu ialah gerak badan dan memek muka. Gerak badan dan memek muka perlu sesuai dan tepat. Memek muka yang berlebihan boleh menukar 'mood' murid-murid dan ini perlu dielakkan. Oleh itu hubungan guru dan murid itu mesti sentiasa terjalin semasa bercerita. Guru boleh menukar haluan jika didapati konsentrasi dan emosi murid tidak seperti yang diharapkan.
Teknik bercerita ini sebenarnya boleh dipraktikkan secara bebas oleh guru. Secara asasnya teknik bercerita itu hanya perlukan cerita, penyampai dan audiennya. Bagaimanapun dalam dunia pendidikan formal, teknik bercerita dapat dimodifikasi dan dimanipulasi mengikut kesesuaian dalam bilik darjah, bahan pengajaran dan teknologi pendidikan yang ada. Dengan itu lahirlah pelbagai metod yang boleh digunakan dalam menjayakan teknik bercerita ini.
Antaranya ialah bercerita sambil bersoal jawab. Sebelum guru memulakan cerita, murid-murid diarah untuk mendengar dan mengikuti jalan cerita dengan sepenuhnya, termasuk juga aspek-aspek pengajaran dan nilai yang terdapat dalam cerita tersebut. Sambil guru bercerita, guru akan berhenti bercerita dan menyoal murid-murid mengenai apa yang telah diceritakan. Kemudian guru menyuruh murid-murid meramal cerita seterusnya dan setelah itu menyambung kembali ceritanya. Ini bertujuan supaya murid-murid akan terus mengikuti cerita itu dan memahami cerita yang disampaikan. Teknik ini boleh digunakan untuk pengajaran kefahaman, karangan, kosa kata dan sebagainya.
Teknik
bercerita juga boleh disampaikan terus melalui buku. Guru menyampaikan cerita
kepada murid-murid melalui bacaan daripada buku cerita. Sementara itu
murid-murid mendengar, memahami, menghayati dan kemudian diminta menceritakan
kembali cerita yang didengar itu. Guru mestilah menghayati cerita yang
dibacakan dan menyampaikannya dengan gaya dan intonasi yang boleh menarik minat
murid untuk mengikuti cerita sehingga selesai. Menerusi teknik ini pengajaran
bahasa seperti kemahiran bertutur, membina ayat, kefahaman, karangan, kosa kata dan sebagainya boleh
diajarkan.
Teknologi moden dapat menambah variasi penyampaian.
Murid-murid akan diperlihatkan dengan gambar-gambar slaid melalui OHP atau 'Power Point' komputer. Kemudian murid-murid diminta untuk
memerhati gambar-gambar slaid yang ditayangkan dan seterusnya mengikuti cerita
yang akan diperlihatkan dari slaid tadi. Menerusi slaid murid-murid dapat
mengikuti urutan atau jalan cerita dengan mudah dan cerita itu akan lebih
menarik. Pita rakaman
juga masih berkesan jika digunakan kerana ia dapat membantu kemahiran mendengar
murid-murid. Murid-murid diperdengarkan kepada rakaman yang mengandungi urutan
beberapa peristiwa dan mereka diminta mengimaginasikan peristiwa tersebut.
Jika guru berupaya untuk mewujudkan teater pembaca maka ia akan lebih baik dan berkesan dalam menyampaikan ceritanya. Teater pembaca adalah satu aktiviti drama yang boleh melibatkan semua murid dalam sesebuah bilik darjah. Sebahagian daripada mereka akan membaca sebuah cerita dengan penghayatan dan intonasi yang betul sehingga menimbulkan suasana cerita yang menarik dan mudah difahami. Ini bertujuan untuk membantu penonton memahami, menghayati dan merasakan seolah-olah cerita itu sedang berlaku di hadapan mata mereka. Pembaca hanya dikehendaki menggunakan suara, gerak badan dan memek muka. Namun begitu, teknik ini perlu perancangan yang rapi agar pengajaran dapat berjalan dengan lancar dan murid-murid dalam keadaan yang terkawal.
Bercerita
menggunakan pelbagai seni bahasa itu sangat mendukung perkembangan kosa kata
dan kepekaan murid kepada seni bahasa dan budaya mereka. Syair, pantun, sajak,
seloka, gurindam, hikayat dapat digunakan untuk menambah variasi pengajaran dan
pembelajaran. Guru boleh mereka sebuah syair yang berbentuk cerita umpamanya
riwayat hidup seseorang, kisah-kisah sejarah yang bersesuaian dan sebagainya.
Syair yang berbentuk cerita hendaklah disampaikan dengan penuh
penghayatan. Ini akan menimbulkan minat di kalangan murid-murid lebih-lebih
lagi mereka jarang mendengar syair.
Bercerita
menggunakan kad gambar atau gambar bersiri, gambar kartun, keratan akhbar dan keratan majalah juga dapat digunakan dalam mencari
suasana baru dalam bercerita. Melaluinya murid-murid dibimbing membina cerita
sendiri berdasarkan bahan-bahan rangsangan seperti gambar kartun dan keratan akhbar. Dengan menggunakan
gambar-gambar kartun atau keratanakhbar murid-murid
disuruh memerhati dan kemudian menceritakan mengenai gambar atau keratan akhbar itu. Mereka akan bercerita kepada guru
dan rakan-rakan sedarjah. Cerita tidak perlu panjang. Murid-murid dapat dilatih
menyampaikan maklumat dengan berkesan secara bersahaja. Ini membolehkan
murid-murid berkomunikasi dengan lebih berkesan. Dengan ini, kemahiran
berbahasa murid-murid dapat dipertingkatkan.
Kesimpulannya, dengan menggunakan teknik bercerita banyak aspek-aspek bahasa, yang boleh diajarkan umpamanya empat kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Begitu juga dengan memasukkan isi-isi pelajaran ke dalam cerita simpulan bahasa, perkataan berlawan, cakap ajuk, cakap pindah selain dari pengajaran karangan, fahaman, tatabahasa, kosa kata dan sebagainya. Di samping itu, guru juga seharusnya menyerapkan nilai-nilai murni melalui cerita. Dengan ini, prinsip bahasa merentas kurikulum dapat dipraktikkan. Di samping mereka seronok mendengar cerita mereka juga memperolehi pelajaran dan lebih memahami pengajaran cerita yang ingin disampaikan.
Post a Comment