LAMAN CIKGU BAHRI

 BERAT SAMA DIPIKUL, RINGAN SAMA DIJINJING

“Intan! Intan! Tolong mama angkat ayah kamu ni…dia jatuh di bilik air” sahutan kuat dari Puan Suraya kepada anak perempuannya ku dengari pada awal pagi itu. “Adakah suaminya telah jatuh sakit?” terlintas dibenakku bertanyakan tentang keadaan yang cemas tadi. Setelah jeritan dari Puan Suraya kudengari, keadaan menjadi sedikit hening tatkala aku masih tertanya-tanya jika ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap keluarganya. Tanpa berlengah aku terus keluar dari rumahku untuk ke rumah Puan Suraya. “Assalamualaikum Puan Suraya” dua kali aku memberi salam setelah panggilan yang pertamaku tidak berjawab. Aku menunggu buat seketika kerana aku yakin mereka mendengar panggilan salamku sebentar tadi.

          Tiba-tiba pintu rumahnya dibuka, tetapi ku lihat Puan Suraya keluar dengan agak kelam kabut, tidak seperti biasa. “Maaflah, suami saya terjatuh di bilik air tadi dan sekarang tidak sedarkan diri” kata Puan Suraya dengan nada sedih. Aku lantas meminta izin untuk melihat apa yang telah berlaku kepada suaminya. Encik Zaki suami kepada Puan Suraya sudah terbaring di ruang tamu tanpa sedarkan diri. “Saya tak tahu nak buat apa sekarang ni sebab Encik Zaki tidak pernah mengalami sakit seperti ini” ujar Puan Suraya setelah aku merapati Encik Zaki.

          “Saya rasa Encik Zaki perlu dibawa segera ke hospital sekarang, takut keadaan menjadi lebih kritikal jika dia terlewat dapat rawatan” ucapku dengan nada lembut kepada Puan Suraya agar segera memberi kata putus. Puan Suraya termenung seketika melihat keadaan suaminya yang masih tidak bergerak sejak dari tadi. “Biar saya yang bawa Encik Zaki ke hospital, lebih cepat jika hendak menunggu ambulan datang ke sini” aku memberi cadangan kepada Puan Suraya. Puan Suraya hanya menganggukkan kepalanya perlahan tanda setuju dengan cadanganku. Aku bingkas bangun dan beredar dari rumahnya untuk segera mengambil kereta.

          Aku terus mencapai kunci kereta dan menghidupkan enjin kereta. Apabila keretaku berhenti di hadapan rumah Puan Suraya, aku lantas masuk semula ke dalam rumahnya untuk membantu mengangkat Encik Zaki ke dalam kereta. “Terima kasih Farah sebab tolong saya bawa suami saya ke hospital” kata Puan Suraya ringkas. Sepanjang perjalanan ke hospital, aku lihat Puan Suraya sentiasa bercakap dengan suaminya dengan kata-kata semangat agar suaminya kuat menghadapi dugaan pada hari itu.

          Setelah kami tiba di hospital, aku memberhentikan kereta di hadapan lobi Unit Kecemasan hospital. “Biar saya dan Intan keluar memanggil kakitangan hospital untuk membantu, awak tunggu sahaja di dalam kereta” ujar Puan Suraya kepada saya. Setelah beberapa ketika, 2 orang kakitangan hospital merapati kereta ku dan membawa Encik Zaki menggunakan ‘strecher’ yang telah disediakan. Seorang doktor datang menghampiri kami. “Mujurlah pesakit ini segera dibawa ke hospital kerana sekiranya lewat mendapat rawatan kecemasan mungkin nyawa pesakit berada dalam bahaya” kata-kata doktor tersebut membuatkan kami bertiga berasa lega. Aku diberitahu oleh Puan Suraya bahawa suaminya telah mengalami serangan jantung pada pagi tadi dan keadaannya stabil serta dalam pemerhatian pihak hospital.

          "Terima kasih Farah” ucap Puan Suraya buat kali ke dua kepada ku sambil menggenggam erat tangan ku. Aku lihat matanya berkaca menahan kesedihan yang masih terpendam di dalam sanubarinya. Setelah itu, aku melangkah perlahan meninggalkan Puan Suraya dan anaknya di hospital sambil berdoa agar Encik Zaki dapat sembuh seperti sedia kala. Peristiwa ini meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada diriku dan juga Puan Suraya setelah kami hidup berjiran sejak sekian lama. Aku juga berharap semoga hubungan erat antara kami ini akan berkekalan dan sifat bantu-membantu menjadi amalan yang mulia dalam hubungan sesama jiran.


Hasil Nukilan;

INTAN NURFARAH DIANA BINTI MOHD FAIZAL

5 Bestari SKTP 2021

0 Responses

Post a Comment