TUJUAN ANDA
MENGARANG
1. menguji kefahaman anda
mengenai tajuk karangan itu.
2. menguji kebolehan, kemahiran dan keupayaan anda menarik minat pembaca.
3. menguji fikiran, pendapat, dan idea-idea anda.
4. menguji tentang sejauh mana pembacaan anda.
PANDUAN
MENGARANG / MENULIS
Sebelum membuat sesuatu
karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan
karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
a) Pengenalan
b) Isi-isi dan
c) Penutup
A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai pembukaan atau pengenalan. Dalam
pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang
mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya
supaya ingin membaca karangan itu. Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan
am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan
meninggalkan kesan yang positif dan mendalam pada pemeriksa. Oleh itu
pastikanlah terlebih dahulu pembukaan karangan hendaklah bersih daripada
kesalahan tatabahasa atau ejaan.
B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak tajuk karangan itu. Karangan perlu mempunyai
empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan
masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait di antara satu dengan
lain. Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama
didahulukan. Sebaik-baiknya satu isi, satu perenggan kecuali jika isi
pendek-pendek dan berkait rapat. Tiap-tiap perenggan tidak semesti sama
panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan
yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh
murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain. Jaga isinya
supaya tidak terkeluar dari tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi
yang bercanggah dengan tajuk. Isi karangan hendaklah asli tidak ditiru
bulat-bulat dari karangan lain. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita
hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah,
rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan
dari pengalaman sendiri. Jangan campur adukkan isi. Elakkan daripada menulis
sesuatu isi dalam perenggan yang sama. Catatkan setiap isi sebelum menulis.
Tip
Antara kaedah mencari isi
Kaedah I ( pertanyaan )
Kaedah II ( peta minda )
Apa ?
Siapa ?
Bila ?
Mengapa ?
Di mana ?
Bagaimana ?
C. Penutup
Kalau pengenalan dapat mempengaruhi atau menarik minat pembaca untuk
mengikuti karangan tersebut maka penutupnya juga hendaklah memberi suatu
kepuasan kepada pembaca. Penutuplah yang menjadi kesimpulan / rumusan atau
akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup digambarkan juga pendapat kita dengan
ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Elakkan menamatkan karangan
secara mengejut atau tergantung. Oleh itu penutup juga adalah penting dalam
tiap-tiap karangan.
CARA-CARA MENGARANG / STRATEGI MENULIS
1. Sebelum menulis perkara
yang dilakukan seperti di bawah :
a. Memilih tajuk atau soalan
1 (a) atau 1 (b) dan soalan 2
- Baca dan fahami setiap tajuk / soalan yang diberi.
- Fahami bentuk soalan sama ada jenis berformat atau tidak berformat.
- Kamu mesti memilih soalan / tajuk yang benar-benar boleh dikuasai
- Memahami benar-benar kata kunci atau kehendak soalan
( Kehendak soalan biasanya berada di akhir arahan seperti : ………………
Tuliskan laporan mengenai lawatan tersebut. )
Contoh :
Perhatikan soalan di bawah ini.
Soalan 1
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan sebuah
karangan mengenainya.
Soalan 2
Sekolah anda telah mengadakan "Hari Sukan". Tuliskan laporan
mengenainya untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.
Komen : Tajuk karangan di atas adalah sama, tetapi dari segi formatnya
berbeza.
Soalan satu merupakan karangan biasa , manakala soalan 2 berformat.
Tip
Adalah lebih baik jika adik semua menggariskan perkataan-perkataan yang
menjadi kata kunci dalam soalan itu. Ini mengelakkan karangan daripada
terpesong atau terkeluar daripada tajuk sebenar.
b. Menyusun rangka karangan
- Pilih mana-mana kaedah yang mudah bagi anda mencari isi
- Senaraikan semua isi penting secara ringkas yang mungkin.
- susun isi mengikut urutan kepentingannya.
- Masukkan huraian serta contoh yang sesuai bagi setiap isi yang akan
dihurai.
- Isi penting jangan diulang-ulang
c. Menulis karangan
- Semasa menulis karangan kamu mulakan dengan menulis pendahuluan terlebih
dalu satu perenggan.
- Setiap isi yang dihurai perlu ditulis dalam satu perenggan berserta dengan
contohnya.
( Bahagian-bahagian karangan
yang ideal )
Perenggan Pendahuluan
Perenggan isi pertama
Perenggan isi kedua
Perenggan isi ketiga
Perenggan isi keempat
Perenggan Penutup
- Tulislah mengikut urutan
rangka yang telah dibuat selain menjaga kekemasan tulisan.
d. Menyemak karangan
- Setelah habis menulis karangan kamu perlu menyemak bagi memastikan jika ada
tulisan anda yang kurang jelas, kesalahan ejaan, tanda baca, penggunaan
imbuhan, struktur ayat yang salah dan aspek tatabahasa yang lain.
- baca berulang kali bagi memastikan ketepatan karangan kamu.
e. Secara umum peruntukan
masa untuk sebuah karangan
a. 4 minit mencari isi
b. 24 minit menulis karangan
c. 2 minit menyemak semula karangan
Jumlah = 30 minit
Kamu mesti menepati masa
yang ditetapkan.
Adalah diingatkan jangan terlalu leka menjawab satu soalan. Jika masa telah
melebihi 30 minit beralih kepada soalan yang kedua pula. Ini kerana adalah
lebih baik menjawab dua soalan daripada menjawab satu soalan yang baik.
Tip
Kamu digalakkan menulis ayat yang pendek , ringkas dan padat berbanding yang
panjang. Ini kerana ayat yang panjang biasanya terdedah kepada kesalahan
tatabahasa.
Biasakan diri kamu mengolah ayat daripada isi yang telah disenaraikan.
Satu perenggan biasanya mengandungi 3, 4 atau 5 ayat sahaja bagi huraian satu
isi.
Tahukah kamu ?
Bagaimana hendak menulis dialog dengan baik ?
Di bawah ini adalah contoh yang baik untuk menulis dialog dalam karangan
anda.
Mulakan setiap dialog di baris baru. Ini mengelakkan kekeliruan pemeriksa.
Lihat contoh :
Contoh A ( dicadangkan )
"Kamu baru pulang ?"
"Baru sebentar tadi." Jawab saya. "Tentu Kamu tertunggu
kepulangan saya."
"Memang saya tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
Contoh B ( mengelirukan )
"Kamu baru pulang ?" "Baru sebentar tadi." Jawab saya.
"Tentu Kamu tertunggu kepulangan saya." "Memang saya
tertunggu-tunggu," luah Jamal , lembut.
PETUA BILA MENULIS KARANGAN
· Perlu memahami betul-betul
kehendak soalan.
· Catatkan apa sahaja isi-isi yang terlintas di fikiran, kemudian susun
mengikut mana yang lebih penting.
· Tuliskan karangan berdasarkan rangka yang kamu sediakan.
· Karangan mestilah mempunyai pendahuluan, isi-isi dan penutup.
· Bagi karangan meminta fakta , sekurang-kurangnya mempunyai empat isi (
seelok-eloknya cari lima isi ) dan setiap perenggan mengandungi satu isi.
· Gunakan ayat yang pendek dan bahasa yang mudah.
KELEMAHAN
KARANGAN
A] Kesalahan memilih tajuk
· Kesalahan memilih tajuk
biasanya berlaku kerana calon tidak memahami apa yang dikehendaki oleh
soalan. Keadaan ini terjadi mungkin calon terburu-buru menyiapkan karangan.
Mereka menulis karangan asalkan siap sahaja.
B] Kekurangan isi
· Oleh sebab kekurangan isi,
sesetengah calon menghuraikan isi secara mendatar atau meleret-leret. Ini
juga boleh menyebabkan terjadinya pengulangan isi yang sama. Hal ini berlaku
kerana calon kurang membaca dan terhadnya pengetahuan.
C] Pembahagian perenggan
· Ada calon meletakkan
beberapa isi dalam satu perenggan. Ini menyebabkan sesuatu isi tidak dapat
dihurai secara mendalam. Malah ada calon menulis hanya satu perenggan untuk
satu karangan !
D] Tidak merangka karangan
· Ada calon yang terus
menulis tanpa mencari isi terlebih dahulu. Calon yang tidak merangka bererti
calon tersebut tidak menyusun isi. Ini menyebabkan karangan tidak kemas dan
bercelaru. Ia juga menyebabkan susunan isi tidak berturutan.
· Terdapat juga isi yang sama diulang. Malah ada calon yang menulis sambil
mengharapkan isi datang kemudian ( terlintas di fikiran ).
E] Kesalahan tatabahasa
· Calon perlu tahu ,
penguasaan bahasa terkini amat penting bagi memastikan karangan mendapat ‘A’.
· Pada tahap Tahun 6 , sepatutnya masalah kesalahan ejaan tidak lagi timbul.
Masih ada calon yang tidak dapat membezakan antara "pada" dengan
"di", "dari" dengan "daripada",
"bila" dengan "apabila" dan pelbagai lagi. Ramai yang
tidak menggunakan imbuhan dengan betul. Lebih malang lagi calon tidak
menggunakan imbuhan langsung untuk karangannya.
F] Kesuntukan masa
· Masa membina karangan
sangat terhad. Pengurusan masa memainkan peranan penting. Calon yang tidak
peka akan terburu-buru menyiapkan karangan. Ini menyebabkan tiada masa untuk
menyemak kesalahan tatabahasa. Malah nombor soalan pun tidak sempat ditulis.
· Terdapat kes calon yang cemerlang, hanya menjawab satu soalan sahaja dengan
baik dan mendapat markah penuh. Tetapi tidak menjawab satu soalan lagi.
Akibatnya beliau hanya mendapat 50 % ( ‘C’ ) sahaja.
G] Kesalahan lain
· Tidak mengikut jumlah
perkataan yang ditetapkan.
· Tidak dapat mengenal pasti format yang diperlukan.
· Masih ada yang menggunakan bahasa dialek daerah ( bahasa kampung / bahasa
Kelantan )
|